30.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, August 5, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kes dadah: Juruterbang Malaysia ditahan di Jakarta sampai 18 Ogos – Polis Indonesia

    Shopee Sale

    Dua rakyat Malaysia yang ditangkap dalam kes pengedaran dadah berasingan di Indonesia masih berada di dalam tahanan ketika pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia memperluas siasatan berhubung kemungkinan kaitan dengan sindiket rentas sempadan.

    Juruterbang Malaysia yang ditangkap di Jakarta direman selama 20 hari, bermula 30 Julai hingga 18 Ogos .

    Sementara itu, seorang pemuda berusia 22 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya pula masih dalam tahanan sementara menunggu kemungkinan tempoh tahanannya dilanjutkan.

    Polis Negara Republik Indonesia (Polri) berkata tempoh tahanan juruterbang itu boleh dilanjutkan jika diperlukan bagi siasatan lanjut sebelum kes tersebut diserahkan kepada pihak pendakwa raya.

    Melalui kenyataan kepada Malaysiakini, Jurucakap Polri, Jhonny Edison Isir berkata suspek berada dalam keadaan sihat dan ditahan di pusat tahanan Badan Reserse Kriminal (Bareskrim) Polri.

    “Ketika disoal siasat sebagai suspek, dia ditemani seorang peguam yang disediakan oleh penyiasat kerana dia belum melantik peguam,” kata Jhonny.

    Pada Isnin, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Shuhaily Zain mengesahkan pihak berkuasa lapangan terbang Indonesia menahan juruterbang Malaysia itu kerana memiliki lebih 70,000 pil ekstasi dan 2.7 gram metamfetamina.

    Shuhaily turut berkata suspek telah melepasi semua pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat menuju ke Jakarta bersama 170 penumpang.

    Sementara itu, Jhonny mengesahkan siasatan bersama akan dijalankan dengan Polis Diraja Malaysia.

    “Kami masih menunggu ketibaan polis Malaysia,” katanya.

    Mengenai tindakan selanjutnya dalam kes itu, Jhonny berkata penyiasat akan terus memperluas siasatan susulan penetapan rasmi individu berkenaan sebagai suspek dan penahanannya.

    Katanya lagi, pemakluman akan dihantar kepada keluarga suspek dan Kedutaan Malaysia.

    Suspek kes Surabaya juga masih ditahan

    Sementara itu, rakyat Malaysia berusia 22 tahun yang ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, pada 29 Julai dengan 990 gram metamfetamina dan 1,089 pil ekstasi diikat pada badannya juga masih dalam tahanan.

    MENARIK:  Akaun Facebook Pusat Khidmat DUN Kijang kena godam

    Lapangan terbang itu terletak di bawah bidang kuasa Polis Kota Sidoarjo.

    Ketua bahagian narkotiknya, Dwi Gastimur Wanti semalam mengesahkan penahanan suspek.

    “Buat masa ini, undang-undang di Indonesia membenarkan penahanan maksimum selama enam hari di lokap polis kota.

    “Selepas itu, kami boleh memohon kepada ibu pejabat polis di Jakarta untuk melanjutkan tempoh tahanan sehingga 40 hari dan suspek akan dipindahkan ke tahanan polis daerah,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

    Dwi menjelaskan keluarga suspek dibenarkan melantik peguam mereka sendiri dan jika mereka gagal berbuat demikian, seorang peguam akan dilantik oleh pihak berkuasa tempatan.

    “Kes ini turut disiasat di Malaysia. Melalui perkembangan siasatan, kami berharap dapat mengenal pasti nama pembekal dadah itu,” katanya.

    Siasatan awal dilaporkan mendapati suspek bersetuju bertindak sebagai keldai dadah kerana menghadapi masalah kewangan dan hutang.

    Siasatan terhadap sindiket rentas sempadan

    Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa siasatan bersama sedang dijalankan berhubung kedua-dua tangkapan di Jakarta dan Surabaya.

    Pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan kaitannya dengan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang lebih besar.

    Kedua-dua kes itu turut mencetuskan perhatian terhadap kegiatan penyeludupan dadah melalui lapangan terbang, khususnya selepas pihak berkuasa mengesahkan juruterbang berkenaan telah melepasi pemeriksaan keselamatan di KLIA sebelum berlepas ke Jakarta.

    Mengikut Perkara 113(2), Undang-undang Republik Indonesia Nomor 35 Tahun 2009 tentang Narkotika, kedua-dua rakyat Malaysia itu berdepan hukuman mati, penjara seumur hidup atau hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah