ULASAN | Sama ada PKR atau Pakatan Harapan (PH) ada sedar atau tidak terdapat satu dimensi yang semakin penting tetapi kurang diberikan perhatian iaitu peranang makna dalam ruang digital.
Dalam era media sosial, pilihan raya tidak lagi dimenangi semata-mata oleh parti yang mempunyai manifesto atau pencapaian pentadbiran yang terbaik. Pilihan raya semakin ditentukan oleh parti yang berjaya membina naratif induk (master narrative) iaitu sebuah cerita besar yang mampu menyatukan pelbagai isu ke dalam satu makna politik yang mudah difahami, mudah diingati dan mudah diulang oleh rakyat.
Perubahan ini boleh dijelaskan melalui konsep transpolitik yang diperkenalkan oleh sarjana Indonesia, Yasraf Amir Piliang. Menurut beliau, politik tidak lagi bergerak hanya dalam ruang institusi seperti parti, parlimen atau manifesto. Politik telah melimpah ke ruang simbol, media, emosi, budaya popular dan simulasi. Dalam ruang transpolitik, persepsi sering bergerak lebih pantas daripada fakta manakala simbol lebih berpengaruh daripada statistik.
Dalam politik digital, pengundi bukan sekadar menilai dasar kerajaan. Mereka mentafsir makna di sebalik dasar tersebut. Mereka tidak hanya bertanya berapa banyak pelaburan yang masuk atau berapa banyak projek pembangunan yang dilaksanakan.
Mereka juga bertanya siapakah yang boleh dipercayai, siapakah yang mempertahankan identiti mereka dan siapakah yang dianggap mewakili masa depan komuniti mereka. Soalan-soalan seperti ini lebih mudah membangkitkan emosi, sekali gus lebih mudah diperkukuhkan oleh algoritma media sosial.
Di sinilah konsep naratif induk menjadi penting. Ia bukan sekadar slogan pilihan raya. Ia ialah cerita besar yang menyusun pelbagai isu politik menjadi satu kerangka tafsiran yang konsisten. Apabila naratif ini berjaya dibentuk, hampir setiap isu baru akan ditafsir melalui bingkai yang sama.
Dalam konteks PRN, salah satu kekuatan utama yang dapat diperhatikan ialah kemampuan membina naratif seperti "asal bukan DAP" yang sering digandingkan dengan penekanan terhadap "mempertahankan kuasa politik Melayu-Islam" yang menyentuh emosi para pengundi Melayu.
Soalan yang lebih penting ialah untuk memahami mengapa naratif itu mempunyai daya hidup yang panjang mampan dan mudah beredar serta amat menyentuh jiwa pengundi Melayu dalam media sosial.
Pengulangan oleh penyokong
Naratif tersebut berfungsi sebagai penanda identiti. Ia membolehkan pelbagai isu seperti ekonomi, pendidikan, bahasa, agama atau institusi Raja-Raja Melayu dibaca melalui satu kerangka makna yang sama.
Apabila sesuatu naratif mampu menyatukan pelbagai isu dalam satu cerita besar, ia menjadi lebih mudah diingati dan lebih mudah diulang oleh penyokong. Pengulangan inilah yang kemudiannya diperkuat oleh algoritma media sosial.
Sebaliknya, cabaran besar PKR dan PH ialah membina sebuah naratif induk yang mampu menghubungkan pelbagai dasar dan pencapaian kerajaan ke dalam satu cerita yang menyentuh emosi rakyat.
Reformasi institusi, Malaysia Madani, tatakelola yang baik, pelaburan asing, pembangunan ekonomi, kecerdasan buatan dan pelbagai inisiatif kerajaan merupakan agenda yang penting. Namun, agenda-agenda tersebut sering hadir sebagai mesej yang terpisah, bukan sebagai satu cerita besar yang mempunyai daya simbolik dan emosi yang sama kuat.
Keadaan ini boleh disebut sebagai defisit naratif. Kerajaan mungkin mempunyai banyak pencapaian tetapi pencapaian itu gagal disusun menjadi sebuah identiti politik yang mudah difahami oleh pengundi. Natijahnya, setiap kejayaan berdiri sendiri tanpa membentuk persepsi yang menyeluruh. Dalam bahasa semiotik, ini merupakan fragmentasi naratif di mana banyak mesej namun tiada bingkai makna yang menyatukannya.
Perubahan ini turut dipercepat oleh algoritma media sosial. Algoritma tidak menilai sesuatu kandungan berdasarkan ketepatan hujahnya, lebih cenderung berdasarkan tahap perhatian dan interaksi yang dijananya. Kandungan yang menyentuh identiti, ketakutan, harapan atau kemarahan lazimnya memperoleh kadar penyebaran yang lebih tinggi berbanding penjelasan dasar yang panjang.
Oleh itu, algoritma bukan sekadar saluran komunikasi, malah menjadi pengganda kepada naratif yang paling berkesan membangkitkan emosi.
Inilah sebabnya mengapa media sosial tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai platform kempen. Ia telah menjadi medan perebutan makna. Parti yang memahami cara algoritma mengangkat sesuatu naratif mempunyai kelebihan besar dalam membentuk persepsi awam.
Dalam kedudukan defensif
Dalam keadaan ini, kemenangan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada siapa yang mempunyai hujah terbaik, tetapi kepada siapa yang berjaya menentukan kerangka tafsiran sebelum perbahasan bermula.
Daripada pemerhatian ini, konsep transpolitik boleh dikembangkan kepada satu kerangka yang lebih luas iaitu geopolitik makna. Jika geopolitik klasik menumpukan perebutan wilayah, sumber asli dan laluan strategik, geopolitik makna menumpukan perebutan terhadap tafsiran realiti.
Kuasa politik tidak lagi hanya bergantung kepada organisasi dan jentera bahkan juga kepada keupayaan menentukan bagaimana rakyat memahami sesuatu isu, ancaman dan identiti.
Pilihan raya pada era digital bukan lagi sekadar pertandingan manifesto atau perebutan kerusi. Ia ialah pertandingan untuk menguasai makna. Parti yang berjaya membina naratif induk mempunyai kelebihan besar kerana naratif tersebut membentuk cara rakyat mentafsir fakta, menilai kepimpinan dan akhirnya membuat pilihan politik.
Sebaliknya, pihak yang gagal membina naratif induk akan sentiasa berada dalam kedudukan defensif, walaupun mempunyai dasar yang baik dan pencapaian yang signifikan.
PRN memberikan satu pengajaran yang penting. Pertarungan sebenar bukan lagi hanya di pentas ceramah (ceramah juga akan masuk ke media sosial) atau pusat mengundi tetapi dalam ruang transpolitik yang dipenuhi simbol, emosi dan algoritma.
Pada akhirnya, politik abad ke-21 bukan sekadar perebutan kuasa. Ia ialah perebutan untuk menentukan makna. Parti yang menguasai makna lebih berupaya menguasai emosi. Parti yang menguasai emosi lebih mudah menguasai algoritma.
Oleh itu apabila algoritma mula mengukuhkan sesuatu naratif secara berterusan, kemenangan politik sering bermula jauh lebih awal daripada hari pengundian.
ISMAIL HASHIM YAHAYA ialah penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mengulas isi semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





