Negeri Sembilan sedang mempertimbangkan cadangan mewujudkan jawatan timbalan exco bagi beberapa portfolio sebagai usaha memperkukuh pentadbiran kerajaan negeri.
Menteri Besar Ismail Lasim berkata jawatan exco secara keseluruhannya akan diisi dengan beberapa Adun parti komponen termasuk BN, PAS dan Wawasan.
"Kita mungkin tidak dapat menempatkan semua wakil rakyat dalam barisan exco, jadi kita sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan jawatan timbalan exco bagi beberapa portfolio yang saya fikirkan penting," katanya kepada pemberita di Wisma Negeri, di Seremban hari ini.

Beliau berkata cadangan itu merupakan pendekatan baharu dalam pentadbiran kerajaan negeri, namun jumlah timbalan exco yang akan dilantik masih belum diputuskan.
Mengulas lanjut, Ismail berkata jawatan exco kanan pula masih belum dimuktamadkan walaupun terdapat peruntukan bagi pelantikan berkenaan.
Beliau berkata pelantikan barisan exco negeri dijangka diumumkan seawal Jumaat ini atau selewat-lewatnya Isnin depan.
Terdahulu, Ismail, 67, memulakan tugas pada hari pertamanya di Pejabat Menteri Besar di Wisma Negeri, di Seremban pada 9 pagi tadi, disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Mohd Zafir Ibrahim bersama ketua-ketua jabatan.
Ismail yang memenangi kerusi DUN Juasseh pada PRN Negeri Sembilan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, pada Ahad.

PRN Negeri Sembilan melibatkan 36 kerusi DUN dan kemenangan BN di 18 kerusi DUN serta PN tujuh kerusi, membolehkan kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.





