Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa empat hingga lima mesyuarat diadakan antara syarikat Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung projek pembinaan tiga jalan utama serta terowong dasar laut di negeri itu sebelum pembidaan projek secara tender terbuka.
Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulhilmi Ramli, 34, berkata mesyuarat itu dihadiri wakil syarikat, Datuk Lee Chee Hoe dan wakil kerajaan negeri daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Pulau Pinang diwakili individu dikenali sebagai Azlan.
Saksi pendakwaan ke-38 itu berkata demikian ketika disoal balas peguam Mohd Haijan Omar pada perbicaraan kes rasuah dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.
Zulhilmi yang merupakan pegawai penyiasat kes rasuah projek berkenaan bagaimanapun tidak mengingati tarikh mesyuarat tersebut.
Mohd Haijan: Saya katakan tiada asas kepada apa-apa dakwaan oleh saksi daripada CZBUCG berkenaan mesyuarat-mesyuarat lain yang dihadiri oleh mereka selain tiga mesyuarat dan Zulhilmi menjawab "Saya tidak setuju".
Disoal Mohd Haijan mengenai apa asas menyokong kewujudan mesyuarat berkenaan yang dihadiri mereka selain daripada tiga mesyuarat pada 10 dan 19 Mei serta 11 Julai 2011, sebelum pembidaan tender terbuka, Zulhilmi berkata ia berdasarkan keterangan Datuk Zarul Ahmad (saksi pendakwaan ke-23 Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli) bahawa terdapat perjumpaan awal.
Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa dia tidak mengetahui apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut selain tiada rekod mesyuarat antara CZBUCG dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung projek tersebut.

Pada prosiding 5 Jun lepas, Zulhilmi tidak bersetuju dengan cadangan Mohd Haijan bahawa tiga mesyuarat antara BUCG dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang membabitkan projek tersebut yang diadakan pada 10 dan 19 Mei serta 11 Julai 2011 tidak diatur secara khusus oleh Lim.
Saksi itu turut tidak bersetuju dengan cadangan Mohd Haijan bahawa tiada apa-apa dokumen yang dirampas daripada Zarul Ahmad bagi tujuan siasatannya.
Mohd Haijan: Apakah dokumen (berkaitan mesyuarat lain) yang dirampas daripada Datuk Zarul Ahmad.
Zulhilmi: Dokumen yang dirampas oleh syarikat Datuk Zarul Ahmad adalah melalui Encik Azli.
Mohd Haijan: Jadi tiada dokumen yang dirampas melalui Datuk Zarul Ahmad dan Zulhilmi menjawab tiada.
Zulhilmi turut bersetuju dengan peguam bahawa dokumen yang dirampas kebanyakannya terdiri daripada borang pembayaran, buku cek dan fail berkaitan projek tersebut.
Lim, 65, didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta.
Ia dilakukan dengan membantu syarikat milik bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.





