Isu kewangan sering menjadi antara perkara paling sensitif dalam sesebuah hubungan. Apabila seorang pasangan lebih banyak mengeluarkan duit, persoalan mengenai tanggungjawab, keikhlasan dan sikap mengambil kesempatan mula timbul.
Namun, adakah layanan masyarakat terhadap lelaki dan wanita dalam perkara ini sebenarnya berbeza?
Artikel Berkaitan: POV XTRA: Pasangan Curang Patut Dimaafkan? Tony Eusoff Pesan Jangan Buka Pekung Rumah Tangga
Artikel Berkaian: POV XTRA: Wanita Guna Duit Lelaki Dilabel ‘Kaki Kikis’? Jazmy Juma Anggap Gelaran Itu Tak Adil
Perempuan & Lelaki Zaman Kini Sama Rata
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain di fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk kita melihat sesuatu perkara dari sudut yang berbeza.
Untuk edisi hari ini, POV XTRA bertanya pendapat pelakon versatil Tony Eusoff berkongsi pandangannya mengenai kenyataan yang sering diperdebatkan dalam kalangan masyarakat iaitu, “Wanita menggunakan duit lelaki dianggap kaki kikis, tetapi apabila lelaki menggunakan duit wanita, ia dikatakan susah senang bersama.”
Menurut Tony, kenyataan sedemikian bukan sahaja tidak adil, malah sudah tidak sesuai digunakan untuk menggambarkan realiti kehidupan pasangan pada masa kini.
Katanya, lelaki dan wanita kini mempunyai kedudukan yang lebih seimbang, terutamanya apabila kedua-duanya perlu bekerja dan mempunyai tanggungjawab kewangan masing-masing.
Pandangan saya mengenai kenyataan itu, bagi saya ia tidak adil dan salah, terutama dalam dunia sekarang apabila perempuan dan lelaki sudah sama rata.
Bukan seperti zaman dahulu apabila hanya suami yang bekerja, manakala isteri duduk di rumah. Sekarang kedua-duanya perlu bekerja. Duit adalah hak masing-masing.
Terpulang kepada kedua-dua pihak bagaimana persefahaman mereka, tidak kira pasangan suami isteri ataupun kekasih.
Perlu Membalas Dengan Cara Tersendiri
Dalam pada itu, Tony menegaskan seseorang tidak seharusnya mengambil kesempatan terhadap pasangan yang banyak memberikan sokongan kewangan.
Meskipun tidak mampu membalas dalam bentuk wang, seseorang masih boleh memberi sumbangan melalui masa, tenaga, perhatian dan usaha untuk memastikan hubungan tersebut terus harmoni.
Kalau kita menggunakan duit orang, maknanya kita perlu memberikan sesuatu sebagai balasan.
Bagi saya, tidak kira lelaki atau perempuan, sesiapa yang menumpang duit tetapi tidak memberikan apa-apa adalah seperti parasit.
Tidak salah kalau sebelah pihak menyokong dari segi kewangan dan sebagainya, tetapi pihak yang satu lagi perlu pandai-pandai.
Kita perlu cuba sedaya upaya untuk memberikan sesuatu semula walaupun bukan dalam bentuk atau nilai wang.
Masa & Usaha Juga Satu Bentuk Sumbangan
Tony turut memberikan contoh sekiranya dia mempunyai teman wanita yang sering membelanjakannya.
Sebagai pasangan yang tidak mahu mengambil kesempatan, Tony berkata dia perlu mencari cara lain untuk membalas kebaikan tersebut.
Kalau saya ada teman wanita yang selalu belanja saya, sebagai manusia yang baik dan tidak mengambil kesempatan, saya rasa lebih elok saya memberikan lebih banyak masa kepada dia.
Saya boleh membawanya ke sana sini walaupun saya tidak boleh memberikan duit kepadanya.
Lebih wajar sekiranya saya cuba menggantikannya dengan kerjasama dan berusaha lebih sedikit untuk menjadikan kehidupan kami lebih selesa dan bahagia.
Dalam dunia ini, tiada benda yang percuma. Walaupun kita tidak mampu dari segi kewangan, masih banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk membantu.
The post POV XTRA: ‘Cinta Bukan Lesen Untuk Ambil Kesempatan Guna Duit Pasangan, Jangan Jadi Parasit’ – Tony Eusoff first appeared on OHBULAN!.





