28 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 23, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bukan Semua Cerita Berkisar Tentang Cinta, Aaron Aziz Mahu Terbitkan Naskhah Yang Memberi Makna

    Shopee Sale

    Selama lebih dua dekad berada dalam industri hiburan, Datuk Aaron Aziz cukup sinonim dengan pelbagai naskhah romantik yang pernah mencetuskan fenomena. Wajahnya sering dikaitkan dengan watak lelaki idaman, suami penyayang atau hero yang berjaya membuatkan penonton hanyut dalam kisah cinta yang dipaparkan di layar.

    Namun apabila diberi peluang untuk menghasilkan karya sendiri menerusi Aaron Aziz Production (AAP), pelakon itu memilih untuk berjalan ke arah yang berbeza.

    ARTIKEL BERKAITAN: Aaron Aziz Kongsi Pengalaman Haji, Cuaca Panas Hari Arafah Paling Mencabar – ‘Allah Mudahkan..Setiap 2 Jam Ada Yang Hantar Ais’

    ARTIKEL BERKAITAN: Aaron Aziz Aktif Urus Perniagaan Pelancongan, Tegaskan Masih Belum Tinggalkan Dunia Lakonan

    Mahu terbitkan naskhah membuka mata masyarakat

    Baginya, industri tidak pernah kekurangan cerita cinta.

    Apa yang lebih diperlukan hari ini ialah cerita yang mampu meninggalkan kesan, membuka mata masyarakat dan menjadi suara kepada mereka yang jarang diberi perhatian.

    Atas sebab itu, telefilem terbaharu terbitannya berjudul Atas Nama Ibu yang diarahkan Kroll Azry tidak berkisar tentang percintaan, sebaliknya mengangkat kisah seorang ibu yang dipenjarakan selepas mempertahankan anaknya.

    Bagi Aaron yang turut bertindak sebagai pengarah bersama, kisah seperti itu penting untuk diketengahkan kerana ia menyentuh sisi kemanusiaan yang sering terlepas daripada perhatian masyarakat.

    “Sebelum ini pun saya ada hasilkan telefilem mengenai isu buli di sekolah. Ceritanya tentang seorang kakak yang mencari keadilan selepas adiknya meninggal dunia akibat buli.

    “Ini semua cerita yang Aaron Aziz Production ketengahkan. Saya mahu hasilkan cerita untuk masyarakat.”

    Kenyataan itu menjelaskan falsafah yang cuba dibawa Aaron dalam dunia penerbitan. Baginya, drama bukan sekadar medium hiburan atau ruang untuk mengisi slot televisyen, tetapi juga platform yang boleh menyampaikan mesej kepada masyarakat.

    Malah, pembabitannya sebagai Naib Presiden Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA) turut banyak mempengaruhi pemilihan cerita yang ingin dihasilkannya.

    Aaron mengakui, kebanyakan karya di bawah AAP lahir daripada kisah benar atau isu yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat, termasuk buli, kesihatan mental dan nasib golongan yang sering dipinggirkan.

    “Saya mahu hasilkan cerita yang memberi impak kepada anak-anak muda, kepada orang susah… Semua ini berdasarkan kisah benar.”

    Pendekatan itu juga menjelaskan mengapa Aaron belum mahu menghasilkan drama romantik yang mengikut formula biasa.

    MENARIK:  Mari Tunjukkan Semangat Kita, Malaysia!

    Menurutnya, hampir semua bentuk kisah cinta sudah pernah dipaparkan kepada penonton. Apa yang ingin diterokainya kini ialah perspektif yang berbeza dan kisah yang jarang diceritakan.

    “Apa yang beza? Semua dah ada. Tak ada apa-apa aspek love story yang penonton belum tengok lagi.

    “Jadi cerita saya adalah daripada perspektif yang orang tak pernah tengok. Saya nak kelainan, kelainan dan kelainan.”

    Bagi Aaron, kelainan itu bukan sekadar terletak pada jalan cerita, tetapi juga tujuan sesebuah karya dihasilkan.

    Sebab itu juga, apabila memilih pelakon, dia tidak meletakkan faktor populariti atau hubungan rapat sebagai keutamaan. Sebaliknya, perkara pertama yang difikirkannya ialah sama ada seseorang pelakon benar-benar mampu menghidupkan mesej yang ingin disampaikan.

    Pilih Nadiya Nisaa selaku penggerak cerita

    Mengulas pemilihan Nadiya Nisaa sebagai teraju utama Atas Nama Ibu, Aaron berkata dia tidak dapat membayangkan pelakon lain yang mampu membawa watak tersebut dengan kekuatan emosi yang diperlukan.

    “Dia pula jenis yang nak tahu cerita dulu. Dia nak tahu watak, dia nak tahu tujuan cerita itu dibuat sebelum dia terima.

    “Kalau bagi dia cerita-cerita biasa, dia takkan ambil,” katanya sambil berseloroh.

    Walaupun terus aktif sebagai pelakon, Aaron memberi bayangan bahawa perjalanannya sebagai penerbit dan pengarah bersama akan diteruskan dengan lebih banyak karya selepas ini.

    Malah, dia mengakui mahu terus menghasilkan naskhah yang membuatkan penonton pulang dengan sesuatu untuk difikirkan, bukan sekadar mengingati babak romantik atau plot yang mudah dilupakan.

    Mungkin sebab itulah, ketika ramai pembikin kandungan berlumba-lumba menghasilkan cerita yang mengikut selera semasa, Aaron Aziz memilih jalan yang sedikit berbeza.

    Baginya, bukan semua drama perlu membuat penonton jatuh cinta.

    Ada masanya, sebuah drama perlu membuat penonton lebih memahami kehidupan orang lain dan mungkin, di situlah makna sebenar sesebuah karya.

    Atas Nama Ibu yang dibintangi oleh Aaron bersama Nadiya Nisaa, Farah Nadiah, Khaleeda Balqis dan ramai lagi itu bakal bersiaran di RTM.

    The post Bukan Semua Cerita Berkisar Tentang Cinta, Aaron Aziz Mahu Terbitkan Naskhah Yang Memberi Makna first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah