Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) Hamzah Zainudin memaklumkan secara prinsip pihaknya berhasrat untuk mempertahankan dua kerusi di Melaka yang kini disandang dua wakil rakyat yang menyokong partinya.
Bagaimanapun jelasnya, soal pengagihan kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) itu nanti perlu mengutamakan sikap bertolak ansur parti-parti antara gabungan PN dan BN.
“Saya telah kemukakan tentang PRN Melaka yang kita tak tahu bila nak bubar DUN.
“Dalam prinsip untuk mengekalkan kedudukan kita, sebagai contoh hari ini Adun Bemban dan Sungai Udang adalah penyokong Wawasan, jadi sudah tentulah kita nak supaya mereka ini bukan sahaja boleh bertanding tetapi meamastikan mereka menang dalam PRN.
“Kalau kita fikir tentang kehendak parti, kalau saya nak pertahankan dua DUN itu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Wawasan di Kuala Lumpur, semalam.
Ketua pembangkang itu berkata demikian ketika ditanya kerusi yang mahu ditandingi mereka dalam PRN Melaka akan datang dan keputusan BN untuk mempertahankan semua kerusinya di negeri itu.
Dalam PRN Melaka 2021, PN memenangi dua kerusi melalui wakil Bersatu di DUN Bemban dan Sungai Udang.
Kedua-dua penyandang kerusi itu kini beralih sokongan kepada Wawasan susulan krisis yang melanda Bersatu termasuk pemecatan Hamzah daripada jawatan timbalan presiden.
Sementara itu Hamzah menegaskan jika kedua-dua gabungan itu mahu benar-benar bergabung dan meneruskan “gelombang biru” semua pihak perlu bertolak-ansur.
Jelasnya, ia bukan soal kedudukan dalam PRN Melaka semata-mata sebaliknya perlu mengambil kira kerjasama di negeri-negeri lain.
“Kalau kita ingin benar-benar bergabung kita melihat dari segi gelombang biru yang bermula di Johor dan ke Negeri Sembilan, kalau kita nak teruskan gelombang itu kena ada sikap bertolak-ansur, ini harus kita lakukan dan duduk bersama antara semua presiden parti.
“Buat masa ini belum ada tarikh untuk kita tentukan bila (perbincangan) tapi insya-Allah saya rasa dalam kehendak parti itu sendiri - betullah masing-masing nak banyak, tetapi kalau kita melihat kedudukan bukan hanya negeri Melaka semata-mata tapi banyak lagi negeri lain yang kita akan mengambil kira, ketika itulah baru boleh diberikan sikap bertolak-ansur itu boleh berlaku,” katanya.
Ditanya mengenai wujudnya keretakan hubungan PN-BN selepas PRN Negeri Sembilan, Hamzah sama sekali menafikan perkara itu.
Tegasnya, wakil rakyat PN sudah mengangkat sumpah sebagai exco dalam kerajaan Negeri Sembilan sekali gus menolak dakwaan itu.
“Saya tak nampak pun ada keretakan antara PN-BN sebab hari ini (semalam) baru saja kita angkat sumpah, maknanya apa? Ada wakil kita, macam mana orang kata ada keretakan.
“Ini adalah unsur-unsur untuk memecah-belahkan kita,” kata ahli parlimen Larut itu lagi.





