Pemuda Amanah Perak hari ini menasihatkan PN agak menyelesaikan dulu isu jawatan pemimpin mereka sebelum menguar-uarkan keyakinan untuk mengambil alih kerajaan negeri.
Ketuanya Khairol Najib Hashim berkata ketika ini rakyat Perak sangat menghargai kestabilan dan kecekapan kerajaan negeri yang melaksanakan kesinambungan dasar berbanding retorik politik.
Katanya Perak juga berada dalam ekosistem yagn kukuh di bawah pentadbiran Menteri Besar, Saarani Mohamad.
"Kerajaan Perak telah membuktikan bahawa kerjasama antara parti mampu menghasilkan pentadbiran yang matang, berfungsi dan berorientasikan rakyat.
"Ekonomi negeri berada pada landasan yang baik, pengurusan kewangan menunjukkan disiplin dengan rekod lebihan bajet, dan pelbagai inisiatif terus dilaksanakan bagi membantu rakyat dalam menghadapi tekanan kos sara hidup," katanya dalam kenyataan media.
Lebih penting, tambah Khairol Najib, kerajaan negeri berfungsi tanpa politiking sempit sehingga menjejaskan fokus mereka kepada rakyat.

Pada masa yang sama, katanya, PN sendiri masih berdepan dengan isu dalaman yang belum selesai.
"Malah, soal asas seperti penentuan kepimpinan di peringkat negeri juga masih gagal dimuktamadkan, dengan perbezaan pandangan antara parti komponen yang berterusan.
“Persoalannya, bagaimana sebuah gabungan yang masih bergelut dengan ketidaksefahaman dalaman boleh meyakinkan rakyat bahawa mereka bersedia untuk mentadbir negeri?" katanya.
Khairol Najib berkata demikian sebagai mengulas laporan yang memetik kenyataan Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu, yang mendakwa sentimen rakyat ketika ini menunjukkan kecenderungan untuk melakukan perubahan kerajaan.
Dia yang juga bekas Menteri Besar Perak mendakwa kecenderungan itu bukan saja dapat dilihat di negeri terbabit malah di seluruh negara.
Untuk rekod, sebelum ini Ahmad Faizal merupakan Pengerusi PN Perak sebelum dia meletakkan jawatan pada 30 Dis 2025 dan berkuat kuasa 1 Jan lalu.
Ia merupakan susulan krisis kepimpinan PN yang menyaksikan PAS mendesak agar Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berundur daripada jawatan pemimpin tertinggi gabungan terbabit kesan pertukaran jawatan Menteri Besar Perlis.
Sehingga kini belum ada laporan menyatakan siapa yang dilantik menggantikan Ahmad Faizal sebagai Pengerusi PN Perak.
Kata Khairol Najib, Pemuda Amanah Perak yakin rakyat hari ini lebih menghargai kestabilan, kecekapan dan kesinambungan dasar berbanding gabungan yang gagal mencari kata sepakat.
"Sehubungan itu, sekiranya PN benar-benar ingin mendapatkan semula kepercayaan rakyat, lebih wajar untuk mereka menyelesaikan terlebih dahulu isu dalaman sebelum berbicara soal mengambil alih pentadbiran negeri," katanya.





