Adun Puteri Wangsa daripada Muda, Amira Aisya Abdul Aziz berkata parti itu tidak mahu mencampuri urusan PKR dan Amanah berhubung perebutan kerusi DUN berkenaan.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media bahawa PKR dan Amanah Johor berhasrat bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Johor.
"Saya tak nak masuk campur tentang perbincangan Pakatan Harapan. Cuma saya pernah sebut perkara ini dan saya berpegang perkara ini, sesebuah kerusi itu bukan milik mutlak mana-mana parti.
"Kerusi itu milik rakyat. Apabila DUN dibubarkan, rakyat tak nak dengar kerusi ni kerusi parti mana," katanya ketika ditemui pemberita.

Pada 16 Jun lalu, FMT melaporkan Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah, berkata parti itu akan mewakili PH di Puteri Wangsa.
Ahli Parlimen Tebrau itu dilaporkan mendakwa perkara it dipersetujui semua parti komponen PH, termasuk Amanah.
Bagaimanapun, pada hari yang sama, portal berita itu turut memetik Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, yang menafikan rundingan telah dimuktamadkan dengan PKR berhubung Puteri Wangsa serta satu lagi kerusi DUN.
‘Fokus isu rakyat, bukan gaduh rebut kerusi’
Mengulas lanjut, Amira berkata, walaupun dia merupakan Adun Puteri Wangsa, Muda tidak pernah menganggap kerusi itu sebagai milik eksklusif parti tersebut.
"Pesanan saya pada parti-parti sekarang, jangan lagilah terlalu rancak bergaduh soal kerusi kerana benda itu tidak disenangi oleh rakyat. Rakyat hanya nak tahu apa isu yang akan dibawa.
"Di Puteri Wangsa isu terlalu banyak. Isu banjir, isu infrastruktur, jalan raya, longkang. Perkara ini perlu dibuat segera. Berhenti bergaduh soal kerusi dan tumpukan fokus pada isu-isu rakyat," katanya.

Kerusi Puteri Wangsa menjadi rebutan selepas Muda meninggalkan PH, apabila Amanah terlebih dahulu menyatakan hasrat untuk mendapatkan semula kerusi yang pernah "dilepaskan" kepada Muda pada PRN Johor 2022.
Muda membuat penampilan sulung pada PRN Johor 2022 dengan bertanding di tujuh kerusi dan hanya berjaya memenangi Puteri Wangsa menerusi kerjasama bersama parti-parti PH.
Sumber yang rapat dengan PKR Johor hari ini memaklumkan terdapat spekulasi bahawa PKR mahu meletakkan Ahli Majlis Pimpinan Pusatnya, Maszlee Malik, sebagai calon di Puteri Wangsa, manakala Amanah dikatakan mempertaruhkan Naib Pengerusi Amanah Johor, Zuhan Mohd Zain.
Dihubungi bagi mengulas perkara itu, Maszlee berkata perkara tersebut masih belum dimuktamadkan secara rasmi.

"Belum rasmi. Tunggu 22 Jun nanti pengumuman calon," kata Ketua PKR Simpang Renggam itu kepada Malaysiakini.
Sementara itu, Zuhan berkata dia bersedia sekiranya diarahkan parti untuk bertanding di kerusi berkenaan.
"Fokus utama kita adalah Amanah bertanding di Puteri Wangsa mewakili PH," katanya yang juga Ketua Amanah Kawasan Kluang.
Dalam perkembangan lain, Amira mengesahkan Muda telah memuktamadkan jumlah kerusi yang akan ditandingi serta senarai pendek calon, namun enggan mengulas lanjut sehingga pengumuman rasmi dibuat sebelum hari penamaan calon.
“Yang saya boleh kongsikan, saya berbangga Muda sekali lagi berjaya meletakkan 50 peratus calon wanita,” katanya.
Dia turut mengesahkan kerjasama Muda dengan PSM di Johor dan Negeri Sembilan yang diumumkan pada 15 Jun lalu, yang bertujuan menawarkan dasar progresif kepada pengundi.
Mengenai kerjasama dengan parti pembangkang lain, Amira berkata Muda mengambil maklum perkembangan dalam Perikatan Nasional antara Bersatu dan PAS, namun kekal terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang memperjuangkan dasar progresif.
Pilihan raya Johor dijangka menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru, dengan BN dan PH dijangka bertembung di semua 56 kerusi, manakala PN berdepan ketidaktentuan selepas PAS memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.





