30.1 C
Kuala Lumpur
Friday, July 24, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Pertikaian takhta: BN Negeri Sembilan ada penyelesaian terbaik jika memerintah

    Shopee Sale

    PRN N SEMBILAN | BN Negeri Sembilan percaya ia mampu membantu mencari penyelesaian terbaik terhadap pertikaian diraja yang sedang berlaku antara empat Undang negeri itu dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sekiranya gabungan itu diberi mandat untuk kembali mentadbir negeri.

    Pengerusinya Jalaluddin Alias berkata menerusi podcast KiniTV yang disiarkan hari ini, perkara itu antara sebab pengundi perlu mempertimbangkan semua aspek sebelum membuang undi pada 1 Ogos, termasuk pertikaian diraja yang semakin memuncak dan menjadi isu bertambah tegang.

    “Ini soalan yang betul-betul mencabar pemikiran saya untuk menjawab.

    “Pengurusan krisis ini, bagaimana kita menguruskan krisis. Kerana itu rakyat perlu mengambil kira semua faktor sebelum membuat keputusan.



    “Saya ulang balik, mula-mula di awal podcast kita tadi, satu hari bulan (Ogos) sangat penting kerana ia merangkumi semua aspek, termasuk yang berkaitan dengan krisis ini.

    “Jadi apa, pengurusan krisis ini memang boleh diurus oleh Barisan Nasional dalam keadaan yang sangat baik. Kita melalui pelbagai krisis ini,” katanya dalam podcast “Explain Sikit” terbitan KiniTV.

    Jalaluddin, yang mempertahankan kerusi DUN Pertang menjawab soalan berhubung masalah yang membelenggu negeri itu sejak April dan menyaksikan Undang Yang Empat menggunakan kuasa mereka untuk memecat Tuanku Muhriz.

    BN menyalahkan Menteri Besar Aminuddin Harun atas pertikaian diraja yang semakin memuncak itu, dengan menuduhnya gagal menguruskan krisis berkenaan sehingga institusi diraja negeri menjadi bahan ejekan di media sosial.

    Pertikaian itu menyebabkan BN negeri menarik balik sokongannya terhadap kepimpinan Aminuddin.

    Bagaimanapun, percubaan mereka untuk menjatuhkan Aminuddin gagal selepas campur tangan kepimpinan PH dan BN di peringkat persekutuan.

    BN dakwa pernah urus krisis serupa

    Menurut Jalaluddin, BN pernah membuktikan keupayaannya mencapai penyelesaian secara baik dalam isu membabitkan institusi diraja, termasuk krisis berhubung kekebalan raja-raja Melayu ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri buat kali pertama.

    “Krisis ketika waktu imuniti raja-raja, waktu Tun Mahathir menjadi perdana menteri, krisis yang berkaitan dengan banyak perkara yang berlaku sebelum ini, semuanya dapat diselesaikan dalam keadaan yang harmoni dan baik,” katanya.

    MENARIK:  Stoking kalimah Allah: Selangor panggil pengurusan KK Mart

    Dia merujuk tindakan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan ketika menjadi menteri besar, apabila pentadbiran negeri didakwa berjaya menghalang isu itu daripada berkembang menjadi krisis besar.

    Semasa itu, Undang berkenaan kehilangan sokongan daripada Dewan Keadilan di wilayahnya dan terpaksa mengosongkan jawatan.

    Jalaluddin berkata Mohamad bersama exco negeri menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai pakar adat untuk menyiasat perkara itu.

    Hasil siasatan berkenaan kemudian dibentangkan kepada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan untuk diputuskan.

    Menurut Jalaluddin, walaupun keputusan akhirnya menghendaki Undang berkenaan turun daripada takhta, individu itu tetap dilayan dengan penuh hormat dan tidak sekadar disingkirkan daripada jawatan seperti yang berlaku baru-baru ini.

    Dia merujuk arahan kerajaan negeri supaya Undang Rembau dan Undang Sungai Ujong yang terbabit dalam pertikaian itu mengosongkan jawatan masing-masing.

    “Dan saya yakin di Negeri Sembilan juga, Barisan Nasional jika diberi mandat, boleh mengambil satu pendekatan yang sangat baik untuk mencari titik penyelesaian kepada krisis ini.

    “Mana ada benang yang terbelit tak boleh kita leraikan? Betul tak? Mana ada air keruh yang tak boleh kita jernihkan?

    “Mana ada masalah yang tak boleh kita selesaikan?

    “Kerana Negeri Sembilan berpegang kepada Adat Perpatih, muafakat untuk mencipta satu keputusan yang harmoni,” katanya dalam campuran Bahasa Melayu standard dan dialek Negeri Sembilan.

    Ketika ditanya di hadapan siapa kerajaan baru akan mengangkat sumpah sekiranya BN memperoleh majoriti, Jalaluddin berkata perkara itu hanya akan ditentukan selepas pilihan raya.

    “Soal angkat sumpah setelah kita mendapat majoriti yang besar, itu akan kita lihat selepas 1 haribulan nanti.

    “Dan kita jangan jadikan itu sebagai satu gambaran yang boleh mengeruhkan keadaan.

    “Saya yakin dengan kebijaksanaan kepimpinan kita, saya yakin dengan pendekatan yang bakal dilakukan.

    “Kerana kita harus ingat, kita ada Perlembagaan Persekutuan, kita ada Perlembagaan Negeri, kita ada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang kita tak boleh lari daripada itu. Akan ada penyelesaian,” katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah