Peguam Ramkarpal Singh Deo berkata perlu ada kesudahan dalam tempoh masa berkenaan siasatan ke atas kematian mendiang Teoh Beng Hock.
Ramkarpal, yang mewakili ibu bapa Beng Hock, Teoh Leong Hwee dan Teng Shuew Hoi, berkata demikian sebagai jawapan kepada hujah pembelaan yang mengatakan bahawa polis tidak memerlukan tempoh masa khusus untuk menyelesaikan siasatan tertentu.
"Kami telah mengambil pendirian bahawa mesti ada satu kesudahan. Jika tidak, perkara ini akan berlarutan untuk 10, 15 tahun lagi, yang sememangnya tidak boleh diterima.
"Apa pun, itu hujah kami. Terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan," katanya kepada pemberita di pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Ibu bapa Beng Hock mengambil tindakan undang-undang untuk memaksa polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kematian anak mereka.
Mereka menamakan tiga pihak sebagai responden: kerajaan persekutuan, ketua polis negara dan ketua unit siasatan jenayah Bukit Aman.
Selain itu, ibu bapa mendiang meminta mahkamah membuat beberapa pengisytiharan rasmi.
Salah satu perisytiharan tersebut adalah pihak berkuasa undang-undang gagal melaksanakan tugas mereka dengan tidak menyelesaikan siasatan dalam jangka masa yang boleh diterima.
Ramkarpal berkata kes itu telah di peringkat akhir dan mahkamah memerlukan penjelasan muktamad sebelum membuat penghakiman.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Alleh menetapkan tarikh keputusan muktamad pada 29 Okt jam 2.30 petang.





