Seorang penoreh getah yang didakwa atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya yang berusia 14 tahun memohon jaminan dibenarkan dengan alasan dia tidak sengaja melakukan perbuatan tersebut.
Bapa kepada tiga anak itu memberi alasan demikian ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan.
“Saya tak sengaja rogol anak,” kata lelaki berusia 44 tahun itu.
Mengikut pertuduhan pertama, penoreh getah itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua pula adalah mengikut Seksyen 15(C) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) t yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon untuk dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan dan dibenarkan mendapatkan jaminan.
Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad membantah.
Mahkamah kemudiannya memutuskan tiada jaminan ditawarkan dan menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.





