29.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 1, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Pengarah Bersih disekat balik Sabah lepas serah memo RCI ‘mafia korporat’

    Shopee Sale

    Apabila Asraf Sharafi Mohammad Azhar menaiki pesawat udara untuk penerbangan ke Kota Kinabalu petang semalam, dia menjangkakan akan dapat bertemu semula dengan isteri dan dua anaknya yang berasal dari Sabah.

    Namun, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 7 malam, Asraf Sharafi – yang berasal dari Semenanjung Malaysia – dimaklumkan namanya telah dimasukkan dalam senarai notis amaran Sabah.

    Dia kemudian dihalang daripada memasuki negeri itu sebelum dihantar pulang ke Kuala Lumpur.

    Tindakan itu berlaku beberapa jam selepas Asraf Sharafi bersama beberapa aktivis berarak ke Parlimen Malaysia bagi menyerahkan memorandum menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan kewujudan "mafia korporat" yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    "Setelah sebulan di Kuala Lumpur untuk berbincang hal-hal reformasi dan menyerahkan memorandum menuntut RCI mafia korporat ditubuhkan yang baru selesai pagi tadi, sepatutnya malam ini aku sudah memeluk anak dan isteri di Sabah.

    "Namun mungkin begitulah ujiannya. Nama aku telah disenarai dalam notis amaran Sabah.

    “Aku dilarang masuk ke Sabah setelah 18 tahun berulang-alik ke negeri itu, termasuk selepas berkahwin dengan orang Sabah dan ada dua orang cahaya mata.

    "Suara anak-anak yang sedang menunggu untuk melihat ayah mereka, namun akhirnya kecewa, masih terngiang-ngiang di telinga. Aku pun masih bungkam untuk menenangkan isteri,” katanya dalam hantaran di media sosial malam tadi.

    "Betullah kata orang. Mahal harga perjuangan, lebih lagi untuk isteri dan anak-anak," katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

    MENARIK:  Dua maut dalam nahas MPV dengan lori buah

    Apa nasib roti dibeli

    Dalam hantaran sama, Pengarah Eksekutif Bersih itu berkata dia mengemas kini status berkenaan ketika menunggu untuk dihantar pulang ke Kuala Lumpur.

    Pada masa sama Asraf Sharafi memberitahu, ada beberapa pihak sedang cuba membantu dia mengatasi masalah tersebut, namun dia tidak menjangkakan usaha tersebut akan membuahkan hasil.

    “Apa pun, nampaknya aku memang kena deport (usir) malam ini,” katanya.

    Asraf Sharafi juga menyatakan kekecewaannya apabila pelbagai rancangannya tergendala, termasuk sejumlah roti – yang sering dibeli sebagai ole-oleh untuk penduduk Sabah – tidak dapat diagihkan.

    Cadangannya melawat seorang rakan yang sedang uzur juga tidak kesampaian.

    "Semoga kita terus kuat melawan karat-karat rasuah," katanya.

    Dalam kenyataan berasingan malam tadi, Bersih menggesa kerajaan Sabah menjelaskan asas tindakan tersebut dan menarik balik sebarang sekatan yang tidak berasas terhadap Asraf Sharafi.

    Bersih turut menyifatkan larangan berkenaan sebagai satu lagi bentuk intimidasi dan pencabulan terhadap kebebasan asasi aktivis yang menjalankan hak mereka secara sah.

    Untuk rekod, Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa autonomi dalam hal ehwal imigresen masing-masing, termasuk kuasa menghalang individu dari Semenanjung Malaysia daripada memasuki negeri itu.

    Pengkritik sejak sekian lama mendakwa kuasa itu kadang-kadang disalahgunakan bagi menghalang aktivis dan ahli politik yang mengkritik kerajaan daripada memasuki Sabah atau Sarawak.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah