Pemuda PAS Selangor mengecam keras cadangan Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki, isu penternakan ladang babi moden di negeri itu dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang biadab dan tidak menghormati institusi raja berperlembagaan.
Justeru Pemuda PAS Selangor mendesak agar tindakan tatatertib tegas diambil ke atas Adun DAP berkenaan, termasuk menggantungnya daripada sidang dewan undangan negeri (DUN) selama 12 bulan.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar, berkata cadangan untuk memperkenalkan sistem penternakan babi tertutup, sifar pelepasan (zero discharge), dan teknologi kitar semula biogas itu jelas mencabar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Isu pokoknya ialah titah Sultan Selangor sudah jelas bahawa tiada lagi penternakan babi di Selangor, dan keperluan bekalan hendaklah dipenuhi melalui import.
"Apabila titah tuanku sudah jelas, maka cubaan menghidupkan semula cadangan itu – walaupun dibalut dengan istilah moden – tetap memperlihatkan sikap biadab.
“Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor mendesak Speaker DUN Selangor (Ng Suee Lim) dan jawatankuasa berkaitan untuk meneliti perkara tersebut dengan serius," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun untuk rekod Ng bukanlah speaker ketika ini. Dia merupakan exco pembangunan kerajaan tempatan, pelancongan, dan pembangunan kampung baru.
Jawatan Speaker DUN Selangor kini disandang Lau Weng San yang juga bekas Adun Kampung Tunku.

Terdahulu, Wong ketika membahaskan titah Sultan Selangor menyembah maklum bahawa isu penternakan babi menyentuh hak kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Wong berhujah bahawa penternakan babi tidak seharusnya dibezakan dengan haiwan lain kerana risiko pencemaran, aspek kebersihan, dan kesihatan adalah serupa merentasi semua jenis penternakan.
Dia turut melahirkan rasa dukacita kerana isu tersebut didakwanya telah dipolitikkan oleh pelbagai pihak, termasuk bekas ahli politik.
Besar, kecil tak sesuai
Mengulas lanjut, Mohamed Sukri menegaskan kerajaan Selangor sebelum ini telahpun memutuskan untuk tidak lagi mengeluarkan lesen penternakan babi di semua daerah, selain menutup ladang sedia ada secara berperingkat.
"Tindakan membangkitkan semula isu tersebut di dalam DUN bukan sekadar perbincangan mengenai teknologi, tetapi melibatkan soal adab dan penghormatan terhadap keputusan yang telah dimuktamadkan di peringkat tertinggi negeri.
"Kebebasan berhujah di dalam dewan bukan lesen untuk membangkitkan semula perkara yang telah dimuktamadkan, apatah lagi apabila isu ini menyentuh adab terhadap institusi diraja, keharmonian masyarakat majmuk, dan sensitiviti awam," katanya.
Mohamed Sukri turut mengingatkan semua wakil rakyat supaya tidak berselindung di sebalik istilah teknikal bagi menghidupkan semula polemik yang telah ditolak.
"DUN Selangor tidak sepatutnya menjadi medan untuk menghidupkan semula polemik yang telah diputuskan, tetapi medan untuk membina dasar yang lebih menenangkan rakyat dan menjunjung kedaulatan negeri," katanya.
Pada 10 Feb lalu Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tidak berkenan jika ada mana-mana kawasan di negeri itu dijadikan tempat penternakan babi.
Dalam kenyataan dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani, dia memaklumkan Sultan Sharafuddin berpendapat kegiatan penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara dan sumber air.
Di samping itu, kata Mohamad Munir, pihak istana berpendapat ia boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pihak istana juga berpendapat penternakan babi berskala besar atau kecil tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah yang terhad, ditambah pula dengan faktor nilai hartanah yang tinggi.





