31.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 25, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    PAS: Proses sahkan pindaan perlembagaan Bersatu panjang

    Shopee Sale

    PAS dilihat mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung kesan daripada pindaan perlembagaan dibuat Bersatu bagi menghalang lebih ramai wakil rakyatnya menyokong kerajaan.

    Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata berdasarkan maklumat diterima pihaknya, pimpinan Bersatu setuju meminda perlembagaan bagi mengekang tindakan wakil parti itu berpaling tadah.

    Menerusi pindaan perlembagaan tersebut, katanya, mana-mana wakil rakyat boleh terlucut jawatan walaupun hanya memberikan sokongan kepada parti lain tanpa meninggalkan Bersatu.

    Pun begitu kata bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkenaan, proses yang perlu dilalui Bersatu sebelum pindaan berkenaan dapat disahkan adalah panjang.

    “Pindaan ini mesti mendapat kelulusan daripada pihak ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) dulu, bukannya secara automatik.

    "Proses itu (mendapat kelulusan) tak tahu bila lagi," katanya ketika ditemui selepas istiadat pembukaan penggal kedua DUN Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

    Pun begitu Mohd Amar berkata PAS bersedia menggerakkan jentera parti seperti sepatutnya jika ditakdirkan berlaku kekosongan kerusi dan pilihan raya kecil (PRK) berlangsung.

    “Kalau berlaku PRK kita bertandinglah, itu biasa dah kerja kita. Apabila ada (kerusi) kosong kita akan bertanding," katanya lagi.

    MENARIK:  Monopoli projek kerajaan: Dua pemilik syarikat direman sehari

    Bersatu dilaporkan menghantar surat kepada enam ahli parlimennya yang sudah menyokong kerajaan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan tersebut atau sebaliknya.

    Langkah itu dibuat susulan pindaan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang memberikan kuasa kepada parti terbabit melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

    Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan menghantar laporan mengenai pindaan berkenaan kepada ROS terlebih dahulu untuk mendapat kelulusan sebelum ia dikuatkuasakan serta-merta.

    Sekiranya pindaan tersebut diterima dan enam kerusi terbabit dikosongkan, pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan.

    Setakat ini enam ahli parlimen Bersatu sudah menyatakan sokongan kepada kerajaan iaitu Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

    Bagaimanapun Syed Abu Hussin baru-baru ini memberi bayangan akan ada lebih ramai ahli parlimen Bersatu akan mengikut jejak langkah mereka.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah