PAS petang ini menafikan parti itu merehatkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh, daripada jawatan setiausaha majlis syura ulama mereka.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan surat yang mula tular di media sosial itu adalah palsu.
Dalam reaksinya kepada pertanyaan Malaysiakini, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu memberikan dua imej surat yang kononnya dikeluarkan parti itu bersama perkataan "PALSU".
Dia bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Terdahulu tular sepucuk surat memaparkan nama Takiyuddin sebagai penulisnya. Antara lain surat itu kononnya memaklumkan Nik Muhammad Zawawi direhatkan buat sementara waktu.
Ia terkait dengan ucapan bekas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu dalam satu ceramah yang dianggap menghina sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib.
Terdahulu, Pemuda PAS Selangor sudah mengeluarkan nasihat kepada pemimpin kanan mereka itu agar bertaubat serta membetulkan kenyataan berkenaan.
Antara lain Nik Muhammad Zawawi mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang "bapa ceti" yang gemar memeras orang miskin sebelum dia memeluk Islam.
Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.
Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu.





