Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar Ketua Pemuda PKR (AMK) yang melontarkan cabaran terhadap Umno berhubung kerjasama parti itu dengan PN.
Tuan Ibrahim berkata PKR perlu mengambil kira kedudukannya sendiri dalam kerajaan perpaduan termasuk hakikat bahawa Umno mempunyai lebih banyak kerusi di Dewan Rakyat.
“PKR nak beri amaran kepada Umno, berapa kerusi dia ada? Umno lebih besar daripada dia. Tak sepatutnya PKR bertindak begitu.
“Dia (PKR) kena sedar berapa kerusi yang dia ada berbanding Umno. PKR menumpang Umno, menumpang kekuatan sedia ada Umno,” katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian kepada pemberita di Kota Bharu, Kelantan, malam tadi.
Bagaimanapun, apa yang dimaksudkan Tuan Ibrahim itu berkemungkinan lebih merujuk kepada BN dan bukannya Umno.
Hal itu kerana ketika ini PKR mempunyai 28 kerusi berbanding Umno yang memenangi 26 kerusi hasil PRU ke-15 lalu. Bagaimanapun secara keseluruhan BN mempunyai 30 kerusi jika kedudukan parti komponen lain diambil kira.
MCA memenangi dua kerusi, diikuti masing-masing satu disumbangkan oleh MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.
Kelmarin, Timbalan Ketua AMK, Nabil Halimi, menggesa Umno menyatakan pendiriannya dengan jelas sama ada mahu terus bersama kerajaan Madani atau beralih menyokong PN.
Kenyataan sayap PKR itu dibuat susulan kenyataan Pengerusi BN merangkap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, yang berpandangan PRU ke-16 wajar diadakan lebih awal.
Minta mandat daripada rakyat
Kata Nabil, menteri dan ahli parlimen Umno tidak seharusnya dilihat ada “sebelah kaki” dalam kerajaan dan “sebelah kaki” lagi dalam pembangkang dengan menjalinkan kerjasama dengan PN di peringkat negeri sambil terus memegang jawatan dalam kerajaan persekutuan.
Sebelum itu Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri menegaskan kesediaan BN menghadapi PRU lebih awal, namun pada masa sama juga bersedia jika tempoh parlimen semasa berlangsung sehingga tamat penggal.
Kemenangan BN dalam dua pilihan raya negeri baru-baru ini mencetuskan spekulasi bahawa gabungan itu mungkin mendesak supaya pilihan raya umum diadakan lebih awal.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata Umno mempunyai alasan yang munasabah untuk berasa tidak selesa dengan kenyataan dan tindakan parti gabungan kerajaan kebelakangan ini, termasuk PKR dan DAP.
“Biasanya dalam satu gabungan politik, kita menghormati hak setiap parti. Setiap parti ada hak masing-masing.
“Kalau satu parti bertindak menegur parti lain dalam komponen (kerajaan), saya rasa itu sangat tidak beradab,” katanya.

Bekas menteri alam sekitar dan air itu berpendapat kerajaan perpaduan hari ini dibentuk atas keperluan selepas keputusan PRU lalu mengakibatkan parlimen tergantung.
“Biasanya benda-benda macam ini (jika) dalam pakatan parti politik, tidak akan dibawa keluar, tapi oleh kerana kritikan ini sudah jadi sangat serius, sampai dah tak boleh kawal.
“Masing-masing serang-menyerang satu sama lain,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata dia percaya cara terbaik untuk memulihkan kestabilan politik semasa adalah dengan membubarkan parlimen dan mendapatkan mandat baru daripada rakyat.
Katanya pembentukan kerajaan pusat sebelum ini adalah hasil gabungan beberapa parti sedangkan ia bukanlah kehendak rakyat semasa mereka membuat pilihan dalam PRU.
Namun, katanya, keadaan yang mendesak ketika itu memerlukan wujud kerajaan perpaduan.
“Bagi saya, mandat baru perlu diminta kepada rakyat,” katanya.
Mengenai gesaan DAP baru-baru ini supaya peguam negara menyemak keputusan menghentikan pertuduhan rasuah terhadap Zahid, Tuan Ibrahim berkata mahkamah perlu diberi ruang untuk mengendalikan perkara itu secara bebas.
“Tidak perlu politik campur tangan dalam perkara yang sedang berada dalam bidang kuasa mahkamah,” katanya.





