Pakar-pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Singapura menghentikan hukuman mati terhadap tahanan Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman yang didapati bersalah kerana mengedar dadah.
Pannir, 37, dijadual dihukum gantung menjelang subuh esok dan dimaklumkan mengenai hukuman itu pada 16 Feb.
Pakar-pakar itu juga menyeru agar pihak berkuasa Malaysia untuk "mengambil apa-apa langkah yang mereka boleh gunakan untuk menyokong kes Pannir".
“Kami berulang kali menyeru Singapura untuk menghentikan hukuman mati bagi kesalahan dadah yang menyalahi undang-undang di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa atas beberapa alasan.
“Kami mengulangi bahawa di bawah undang-undang antarabangsa, hanya jenayah berat yang melampau melibatkan pembunuhan dengan sengaja memenuhi ambang hukuman mati. Hukuman mati mandatori sememangnya terlalu inklusif dan sudah semestinya melanggar undang-undang hak asasi manusia,” kata pakar dalam artikel yang disiarkan laman web PBB.
Tambah mereka, tiada bukti bahawa hukuman mati adalah lebih baik daripada hukuman lain untuk membendung atau mencegah pengedaran dadah.
Pakar-pakar tersebut termasuklah Morris Tidball-Binz (special rapporteur on extrajudicial summary or arbitrary executions); Margaret Satterthwaite (special rapporteur on the independence of judges and lawyers); Matthew Gillett, (chair-rapporteur) dan Ganna Yudkivska (vice-chair on Communications).

Sambil memberi amaran bahawa kadar notis pelaksanaan bagi kesalahan berkaitan dadah di Singapura adalah "sangat membimbangkan", pakar-pakar itu menyatakan bahawa hukuman terhadap lapan orang pesalah dilaksanakan atas tuduhan itu sejak 1 Okt 2024, dalam tempoh hanya empat setengah bulan.
“Kami sekali lagi menggesa pihak berkuasa Singapura untuk menghentikan pelaksanaan Pannir dan meringankan hukuman matinya kepada penjara selaras dengan undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa,” kata mereka.
Pakar juga telah menulis surat kepada kerajaan Singapura dan Malaysia berhubung kes ini.
Dalam satu kenyataan berasingan, Suhakam menggesa Putrajaya memperhebatkan usaha diplomatiknya dalam merayu kepada kerajaan Singapura supaya menghentikan hukuman mati dan memohon pengampunan bagi pihak Pannir.
“Pannir, seorang kurier semata-mata, dijatuhkan hukuman mati di bawah hukuman mati mandatori yang tidak diambil kira keadaan yang meringankan kesnya.
"Hukuman ini adalah penyelewengan yang ketara daripada piawaian hak asasi manusia antarabangsa, dan kami amat bimbang tentang akibat daripada hukuman mati yang tidak boleh diubah, terutamanya dalam kes-kes yang mana belas kasihan dan kelonggaran harus dipertimbangkan," tambahnya bagi menyokong kenyataan pakar PBB.
Putrajaya masih belum menjawab rayuan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam perkara itu. Selain keluarga Pannir, empat ahli parlimen kerajaan turut membuat rayuan berkenaan.





