29.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 30, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Ong: Kerajaan Madani ‘di hujung tanduk’ jika PH kalah di N Sembilan, cetus PRU

    Shopee Sale

    WAWANCARA | Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya Negeri Sembilan mungkin menjadi penamat kepada kerajaan Madani, menurut bekas ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming.

    Dia meramalkan keputusan sedemikian akan menggugat kerjasama PH dan BN di peringkat persekutuan, sekali gus berpotensi membuka laluan kepada pilihan raya umum lebih awal.

    “Buat masa ini, saya tidak fikir kerajaan Madani mempunyai kemungkinan besar untuk kekal stabil dan terus memerintah sehingga penghujung 2027.

    “Ini kerana permusuhan politik yang timbul daripada apa yang berlaku di Johor, serta perkembangan susulan daripadanya, berkemungkinan menimbulkan ketegangan dalam kabinet dan menyukarkan kerajaan melaksanakan sebarang dasar substantif selepas ini,” kata Ong kepada program Kini Jelas terbitan KiniTV.

    Ong berkata kesannya mungkin sangat buruk sekiranya pemimpin kanan DAP, termasuk Setiausaha Agung Anthony Loke yang mempertahankan kerusi Chennah, tewas di Negeri Sembilan.

    Katanya, rasa tidak puas hati yang semakin meningkat dalam kalangan anggota DAP terhadap kerjasama parti itu dengan BN boleh mencetuskan desakan supaya DAP menarik wakilnya daripada kerajaan persekutuan.

    “Saya fikir satu daripada kesannya kepada DAP adalah apabila perwakilan mengundi dalam kongres khas pada 16 Ogos, terdapat kemungkinan lebih besar mereka akan mengundi supaya pemimpin DAP meletakkan jawatan dalam kabinet.

    “Ini bermakna lima menteri dan tujuh timbalan menteri akan meletakkan jawatan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

    Ong berkata ahli parlimen DAP boleh terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai penyokong kerajaan, tetapi pengunduran menteri parti itu akan melemahkan kabinet dan menyukarkan lagi penggubalan dasar.

    “Kita kemudian perlu melihat langkah politik yang akan diambil, khususnya oleh pemimpin Umno, selepas perkembangan sedemikian,” tambahnya.

    Skala kekalahan jadi penentu

    Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Syaza Shukri (gambar bawah) berkata kekalahan Loke tidak semestinya memaksanya meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung DAP.

    “Saya tidak fikir dia akan dipaksa meletakkan jawatan secara automatik.

    “Mungkin akan ada tekanan memandangkan pilihan raya umum semakin hampir. Namun, saya fikir ia juga bergantung—jika DAP secara keseluruhan mencatatkan prestasi yang agak baik, kita tidak boleh mengetepikan perananannya mengetuai kempen.

    “Selain itu, pertukaran kepimpinan sekarang mungkin terlalu mengganggu ketika PRU16 semakin hampir.

    "Saya fikir ia bergantung kepada skala kekalahan yang diandaikan berlaku di Negeri Sembilan,” katanya kepada Malaysiakini.

    Secara berasingan, penganalisis politik Wong Chin Huat (gambar bawah) berpandangan tiada sebab untuk Loke meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung DAP.

    MENARIK:  Presiden persatuan muay thai direman dua hari

    “Dia (Loke) mungkin memilih untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi DAP negeri. Namun, langsung tiada sebab untuknya meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung kebangsaan.

    “Peletakan jawatan sebagai tanggungjawab atas kekalahan pilihan raya merupakan perkara yang baik, tetapi adakalanya keperluan mengekalkan keutuhan pasukan kepimpinan bagi menghadapi pertempuran seterusnya dalam masa terdekat mungkin perlu diberi keutamaan,” tambahnya.

    Linggi petunjuk utama

    Selain Loke, Ong berkata keputusan di Linggi—tempat Pengerusi PKR Negeri Sembilan Aminuddin Harun bertanding selepas berpindah dari Sikamat—akan menjadi petunjuk utama peluang PH mengekalkan negeri itu.

    “Saya fikir jika Tok Min (Aminuddin) kalah di Linggi, ia bermakna PH tidak mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan. Ia juga menunjukkan PH berkemungkinan kalah di kebanyakan kerusi majoriti Melayu yang lain.

    “Oleh itu, ramalan saya bahawa Perikatan Nasional dan BN akan membentuk kerajaan Negeri Sembilan akan menjadi kenyataan,” katanya.

    Ong turut merujuk ucapan Anwar sepanjang kempen dengan berkata pengerusi PH itu dilihat meningkatkan tekanan terhadap BN melalui pendedahan dakwaan skandal membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

    Dia berkata janji Anwar untuk mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji—yang secara rasmi didedahkan kepada umum semalam—juga boleh dilihat sebagai sebahagian daripada serangan politik lebih luas terhadap Umno.

    Bagaimanapun, Ong berkata prestasi kukuh BN dan PN di Negeri Sembilan akan mengukuhkan kepercayaan Umno bahawa kerjasama dengan gabungan pembangkang itu boleh membawa keuntungan pilihan raya.

    “Mereka (Umno) mempunyai cara untuk memastikan kepentingan mereka dilindungi.

    “Jika mereka tidak berpuas hati, mereka boleh meletakkan jawatan dalam kabinet atau mengambil pendirian yang menyebabkan Anwar tiada pilihan selain menyingkirkan BN daripada kabinet.

    “Ini kemudian boleh membawa kepada pembubaran Parlimen dan pelaksanaan pilihan raya umum ke-16,” kata Ong.

    Ong meramalkan pilihan raya umum ke-16 mungkin diadakan menjelang akhir tahun ini dengan berhujah kerajaan Madani mungkin sukar bertahan daripada kesan politik susulan kekalahan di Negeri Sembilan.

    Katanya, Anwar akhirnya mungkin terpaksa mendapatkan mandat baru sekiranya kerajaan kehilangan sokongan mencukupi untuk mengekalkan kestabilan kabinet atau meluluskan Belanjawan Persekutuan 2027 yang dijadualkan dibentangkan pada November.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah