Bekas perdana menteri Najib Abdul Razak sekali lagi menegaskan dia tidak terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Katanya, dia tidak pernah mengenali Altantuya, tidak pernah berjumpanya, apatah lagi mengarahkan pembunuhannya.
Najib memberitahu perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam ketika menjawab soalan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah.
Shafee bertanya sama ada Najib tahu atau mempunyai hubungan dengan Altantuya, seperti didakwa dalam bab 42 buku My Story: Justice In The Wilderness tulisan bekas peguam negara Tommy Thomas.
“Saya tak pernah kenal dia, tak pernah jumpa dia, tak pernah beri arahan sebegitu.
“Saya tidak bersalah dengan jenayah keji itu. Saya tidak terlibat dalam pembunuhan Altantuya.
“Saya telah cakap beberapa kali perkara itu dan bersumpah dalam beberapa acara,” katanya.

Bekas presiden Umno itu berkata demikian ketika perbicaraan penuh kes saman terhadap fitnah terhadap Thomas.
Kenyataan saksi itu muncul sehari selepas bekas komando polis Azilah Hadri terlepas tali gantung.
Mahkamah Persekutuan semalam meringankan hukumannya kepada 40 tahun penjara dan 12 sebatan kerana membunuh gadis 28 tahun itu.





