Bekas perdana menteri, Najib Razak akan memfailkan tindakan undang-undang menghina mahkamah terhadap bekas peguam negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Peguambela utama kepada bekas menteri kewangan itu, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara tersebut kepada media pada satu sidang akhbar di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.
Shafee berkata tindakan itu diambil kerana Ahmad Terrirudin didakwa tidak mendedahkan kewujudan titah adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahunnya di bawah tahanan rumah.
Shafee juga mendakwa Terrirudin, yang kini hakim Mahkamah Persekutuan bersikap tidak jujur mengenai pengetahuan kerajaan terhadap kewujudan titah adendum itu.

Shafee berkata kebenaran hanya terungkai apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 11 Januari lalu mendedahkan titah adendum didakwa itu telah diserahkan kepada bekas peguam negara, iaitu Terrirudin.
Peguam itu juga berkata ketika Terrirudin menjawat jawatan Peguam Negara tahun lalu, ketika Najib memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menguatkuasakan titah adendum tersebut dan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah membantah tindakan sivil berkenaan.
Shafee menegaskan pegawai AGC ketika itu memaklumkan kepada mahkamah sivil bahawa tanggungjawab membuktikan kewujudan titah adendum tersebut terletak pada pasukan guaman Najib, kerana jika tidak, ia hanya akan dianggap sebagai dakwaan tanpa asas yang sah.
"Mesti ada ketelusan dan kejujuran, mereka tidak boleh bermain sorok-sorok," kata Shafee mengenai AGC yang mewakili kerajaan Persekutuan dalam membantah semakan kehakiman Najib.
Sekiranya Ahmad Terrirudin didapati bersalah atas penghinaan mahkamah, dia boleh dikenakan hukuman penjara atau denda.
[Baca berita asal]





