Walaupun kontroversi mengenai garis panduan acara antara agama nampaknya telah reda, seorang pemimpin DAP berpendapat Menteri Hal Ehwal Islam Na’im Mokhtar perlu lebih peka terhadap konteks nasional Malaysia bagi mengelakkan pertikaian serupa pada masa hadapan.
Ahli jawatankuasa pusat DAP, Lee Chin Chen berkata isu ini menjadi semakin besar tanpa keperluan akibat kurangnya kepekaan daripada Na'im sehingga menyebabkan krisis perhubungan awam yang tidak terkawal.
Dia mencadangkan pengalaman Na’im yang masih baru dalam politik mungkin menjadi punca kegagalannya menangani situasi ini dengan lebih sensitif.
Lee (gambar bawah) berharap agar Na’im lebih berhati-hati dalam memahami konteks negara dan hanya mengumumkan keputusan selepas memastikan pelaksanaannya, bagi mengelakkan kontroversi serupa berulang.

Dia turut menekankan sebarang dasar atau garis panduan berkaitan interaksi antara agama dan kaum mesti dibincangkan secara menyeluruh serta mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan sebelum diperkenalkan.
Jika tidak, katanya, kerajaan Madani bakal berdepan lebih banyak krisis perhubungan awam, sama seperti isu garis panduan ini dan kontroversi sijil halal pada September tahun lalu.
“Kerajaan perpaduan berusaha mengekalkan warisan masyarakat majmuk Malaysia dan menghargai keharmonian sosial sejak penubuhan negara ini.
“Namun, ada pihak berkepentingan yang cuba mengeksploitasi ketegangan kaum demi kepentingan politik mereka sendiri,” kata Lee pada kenyataan petang ini.
Lee, yang juga timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, tidak menyebut secara khusus siapa yang dimaksudkannya sebagai "pihak berkepentingan" tersebut.
Bagaimanapun, tegasnya kerajaan tidak seharusnya menyekat diri sendiri kerana takut terhadap serangan politik daripada PAS.
Sebaliknya, dia menggesa kerajaan untuk berdiri teguh dan menunjukkan keharmonian masyarakat pelbagai budaya bukan satu masalah serta boleh dikekalkan dengan baik.
Lee turut menyambut baik keputusan kabinet untuk membatalkan garis panduan tersebut, menyifatkannya sebagai selari dengan harapan majoriti rakyat Malaysia.
Dengan kontroversi ini dianggap selesai, dia menyeru kerajaan untuk lebih sensitif dalam menangani isu serupa pada masa akan datang bagi mengelakkan perbalahan baru timbul.





