Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi, menyelar bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berhubung kenyataannya yang membidas Anwar Ibrahim.
Ia susulan kenyataan perdana menteri yang sebelum ini menyifatkan beberapa pendakwaan berprofil tinggi pada 2018 dilakukan secara “tergesa-gesa” dan dicemari oleh “racun dan permusuhan”.
Latheefa seterusnya mempersoalkan siapa yang dimaksudkan itu kepada perdana menteri.

“Rakyat bawahan boleh tolong jawab. Persepsi majoriti rakyat ialah Tun M (Dr Mahathir Mohamad). Iaitu orang yang bawa Latheefa masuk SPRM.
“Dia sempat sembilan bulan di SPRM. Mujur tidak lama. Takut lagi banyak kerosakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Latheefa merupakan ketua pesuruhjaya SPRM dari Jun 2019 hingga Mac 2020 semasa pentadbiran Pakatan Harapan di bawah Dr Mahathir Mohamad.
Mengulas lanjut, Puad berkata keputusan pelantikan Latheefa ke SPRM pada 2019 menimbulkan persoalan kerana peguam itu merupakan individu politik yang pernah memegang jawatan dalam PKR.
“Latheefa pun tahu dia tidak patut menjadi ketua pesuruhjaya SPRM. Dia orang politik. Ketika itu dia berjawatan dalam PKR. Pengalaman pun tidak ada.
“Dia boleh terjebak dengan emosi parti, dendam dan partisan.
“Ia juga bercanggah dengan pendirian partinya (PKR) mengenai lantikan politik. Ia menjejaskan fungsi SPRM sebagai badan bebas,” katanya.

Ahli MKT Umno itu turut mengkritik tindakan Latheefa menyiarkan rakaman audio perbualan antara Najib Razak dan, isterinya, Rosmah Mansor ketika itu sebelum perbicaraan berlangsung.
Tindakan itu, kata Puad, menimbulkan persoalan sama ada ia dilakukan secara profesional atau sekadar bertujuan untuk memalukan pihak tertentu.
Pada 2020, menteri undang-undang ketika itu Takiyuddin Hassan berkata klip berkenaan dikeluarkan secara sah mengikut kuasa budi bicara SPRM.

Latheefa telah mendedahkan sembilan klip audio yang membabitkan Najib, isterinya Rosmah, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, serta ahli kerabat diraja Abu Dhabi, Khaldoon Khalifa Al-Mubarak, yang merupakan ketua pegawai eksekutif Mubadala Development Company.
Beberapa perbualan telefon lain yang didedahkan juga membabitkan perbincangan siasatan terhadap skandal 1MDB.
Latheefa mendakwa rakaman audio itu dihantar kepada SPRM tanpa nama. Dia berkata kebocoran maklumat antara Najib dan Dzulkifli menunjukkan konspirasi di peringkat tertinggi kerajaan BN ketika itu.
Mengulas lanjut, Puad berkata pendakwaan ketika itu adalah secara terpilih.
"Begitu juga apabila dia gugurkan kes pendakwaan terhadap (Ketua Srikandi Bersatu) Mas Ermieyati kerana menerima dana 1MDB.
“Tetapi (veteran Umno) Shahrir Samad dan (ahli MKT Umno) Ahmad Maslan terus didakwa. Itu bukan selektif?" soal Puad.

Sebelum ini, Latheefa dalam podcast Straight Talk terbitan Malaysiakini dan KiniTV, mempertikaikan kenyataan Anwar yang menyifatkan beberapa pendakwaan berprofil tinggi sebagai "tergesa-gesa", "beracun" dan "dendam".
Dia seterusnya mencabar Anwar untuk lepaskan Najib jika berpendapat kes bekas perdana menteri tersebut adalah seperti yang didakwa itu.





