Umno memandang serius kemurkaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, terhadap tindakan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang dikatakan sengaja menyentuh isu 3R dalam ucapannya ketika berkempen di Nenggiri baru-baru ini.
Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasatnya.
“Saya pasti dengan titah (Tengku Mahkota Pahang) sedemikian, pihak yang bertanggungjawab akan mengambil serius untuk melihat apa yang wajar dilakukan,” katanya.
Mohamed Khaled yang juga menteri pertahanan berkata demikian selepas menghadiri pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat kementerian di Kuala Lumpur hari ini.
Pagi tadi Bernama melaporkan Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap Muhyiddin kerana didakwa sengaja menyentuh isu kaum, agama, raja ketika berkempen dalam PRK baru-baru ini.
Tengku Hassanal turut menzahirkan kemurkaan dan terkilan dengan tindakan Ahli Parlimen Pagoh terbabit kerana mempertikaikan tugas dan perananan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Tengku Hassanal bertitah kenyataan Muhyiddin itu dilihat tidak matang, menampakkan seolah-olah dia masih tidak boleh menerima hakikat bahawa dia tidak dilantik sebagai perdana menteri.

Satu laporan polis juga telah dibuat oleh Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah, berhubung perkara itu pada jam 10 malam tadi.
Semalam Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata PDRM sudah menerima 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu dan akan memanggil Muhyiddin untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Sementara itu di Jitra, Kedah, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui selepas pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Kedah berkata dia yakin Muhyiddin akan memberi kerjasama bagi membantu siasatan pihak berkuasa mengenai perkara itu.
"Ada satu perenggan khusus yang menyaksikan tuanku (Tengku Hassanal) bertitah supaya polis segerakan siasatan, sebab terang-terang pada pandangan baginda ada elemen hasutan (dalam ucapan Muhyiddin).
"Saya juga difahamkan oleh Ketua Polis Negara bahawa sudah ditetapkan satu tarikh Muhyiddin akan dipanggil beri keterangan.
"Saya percaya beliau tidak sukar untuk beri kerjasama, dan proses itu akan berlaku dalam masa terdekat," katanya.





