Ahli Parlimen Rompin, Abdul Khalib Abdullah mengesahkan khidmatnya sebagai Ketua Bersatu Pahang sudah ditamatkan.
Dia berkata, surat penamatan khidmat dari pejabat Presiden Bersatu itu diterima pada 7 April lalu.
"Ya... betul... saya mendapat surat daripada Tan Sri Presiden, penamatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Pahang.
"Sebenarnya, mengikut surat yang saya terima, penamatan jawatan saya berkuat kuasa pada 10 Mac 2026," katanya kepada Malaysiakini lewat malam tadi.
Sebelum ini, nama Abdul Khalib turut berada dalam senarai 18 ahli parlimen Bersatu yang dikatakan menyokong bekas timbalan presiden parti, Hamzah Zainudin.
Hamzah dipecat daripada parti itu pada 16 Feb lalu selepas didakwa melanggar perlembagaan parti.
Selain Abdul Khalib, antara ahli parlimen yang ada dalam senarai menyokong Hamzah adalah Ronald Kiandee (Beluran); Zakri Hassan (Kangar); Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu); Khlir Nor (Ketereh), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang).
Abdul Khalib dilantik sebagai Ketua Bersatu Pahang pada Feb 2025 bagi menggantikan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN Pahang pada 11 Jan lalu.
Mengulas lanjut, Abdul Khalib berkata dia menerima penamatan khidmatnya dengan hati terbuka.
"Pelantikan sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri ini hak prerogatif presiden, jadi presiden berhak untuk melantik sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai," katanya.
Ditanya sama ada kekosongan jawatan itu sudah diisi oleh pemimpin Bersatu Pahang yang lain, dia memaklumkan tidak mempunyai maklumat berkaitan hal itu.
"Buat masa sekarang rasanya belum ada lantikan lagi... soal pemangku sementara ini, saya tak tahu," ujarnya.
Abdul Khalib dalam masa yang sama tidak menolak kemungkinan tindakannya menyatakan sokongan kepada Hamzah menjadi punca kepada penamatan itu.
Dia bagaimanapun menegaskan dirinya masih ahli Bersatu walaupun bukan lagi mengetuai parti itu di Pahang.
"Saya masih ahli Bersatu, tidak dipecat, cuma ditamatkan sebagai Ketua Bersatu Pahang.
"Ia tidak menjejaskan PN Pahang secara umumnya... PN Pahang tidak ada masalah, yang ada masalah Bersatu," jelasnya.
Selain Abdul Khalib, Bersatu mempunyai dua wakil rakyat di Pahang - Jasri Jamaludin (Adun Kuala Sentul) dan Adun Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus.





