30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, June 1, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    MP persoal takrif hukum syarak cuma terhad 4 mazhab muktabar

    Shopee Sale

    PARLIMEN | Pindaan pada Seksyen 2(c) Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 - atau Akta 505 - menimbulkan kerisaun dalam kalangan ahli Dewan Rakyat apabila definisi hukum syarak dikhususkan hanya kepada empat mazhab muktabar.

    RUU berkenaan dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan, hari ini.

    Pada sesi perbahasan ahli parlimen sama ada kerajaan mahupun pembangkang membangkitkan mengenai hukum syarak yang hanya dihadkan kepada mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Maliki.

    Ahmad Marzuk Shaari (PN-Pangkalan Chepa) misalnya, mempersoalkan mengapa perlu dihadkan kepada empat mazhab berkenaan saja dan bukannya bersifat lebih terbuka.

    "Kalau kita ikut definisi sebelum ini ia lebih umum, tidak mengikat kepada empat mazhab ini, kerana dalam konteks kita zaman AI (kecerdasan buatan) yang berhormat timbalan menteri kata tadi, kita nak semua dengan yang kontemporari.

    "Tapi ini mengundur ke belakang. Sepatutnya definisi hukum syarak itu lebih terbuka," katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ahmad Marzuk Shaari

    Menurut Ahmad Marzuk, apa akan berlaku jika ada sesuatu isu perlukan ketetapan namun permasalahan tersebut tidak terkandung dalam perbincangan empat mazhab berkenaan.

    "Jadi, mufti nak buat fatwa, nak rujuk di mana?" soal Ahmad Marzuk lagi.

    Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) turut mempersoalkan definisi hukum syarak yang hanya termaktub dalam empat mazhab muktabar dan tidak memberikan definisi yang lebih jelas.

    "Persoalannya, mengapa kita tidak ambil definisi yang lebih jelas dan nyata mengenai hukum syarak?

    MENARIK:  Menteri: Negara berdepan ketirisan subsidi diesel yang serius

    "Contohnya definisi yang lebih jelas, apa jua hukum yang bersandarkan pada al-Quran, hadis, ijmak dan qias.

    "Ini adalah definisi yang patutnya diangkat dalam hukum syarak," katanya ketika membahaskan RUU berkenaan.

    Suhaizan Kaiat

    Sementara itu, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) membangkitkan kebimbangan berhubung pindaan akta berkenaan yang menggugurkan bidang kuasa melantik mufti Wilayah Persekutuan.

    "Bahagian tiga akta pentadbiran Islam ini menggugurkan pelantikan mufti, jadi ini kebimbangan kita.

    "Bidang kuasa itu telah dikeluarkan tapi akta belum," katanya.

    Shahidan Kassim (PN-Arau) pula berpendapat tindakan mengehadkan definisi hukum syarak adalah sesuatu yang jumud.

    "Dulu kita terbuka, iaitu hukum syarak mengikut mana-mana mazhab diiktiraf.

    "Sekarang menteri dan timbalan menteri berilmu tinggi, tetapi kita jumudkan pula khusus kepada mazhab Syafie, Hanafi, Hambali atau Maliki," katanya.

    Menjawab kerisauan yang dibangkitkan ahli parlimen, Zulkifli berkata perkara itu tidak berbangkit sama sekali dan tidak menjadikan akta tersebut jumud.

    "Ia tak menyempitkan kerana dalam seksyen lain (RUU tersebut), mufti dalam membuat fatwa akan merujuk tatacara sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 39.

    "Ia tak membuatkannya sempit kerana seksyen 39(3) memperuntukkan jika mufti berpendapat tidak ada satu pun qaul muktamad (pendapat yang diterima) yang boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan berlawanan dengan kepentingan awam, maka mufti boleh menyelesaikan mengikut hemat sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada empat mazhab itu," katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah