Anggota parlimen Kepong Lim Lip Eng menawarkan ganjaran RM5,000 bagi maklumat sahih yang membawa kepada penangkapan seorang lelaki yang menyimbah petrol ke atas seorang wanita berumur 62 tahun semalam lalu membakarnya.
"Kejadian menyimbah bahan api ke atas seorang wanita dan membakarnya ialah tindakan kejam yang amat mengejutkan.
“Individu yang bertanggungjawab mesti dicari, ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan dengan ketegasan undang-undang sepenuhnya," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Serangan berlaku di luar sebuah kedai nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, semalam dengan mangsa dilaporkan mengalami luka terbakar pada hampir separuh badannya.
Menurut laporan polis, siasatan awal mendapati wanita itu tidak mempunyai musuh dan tidak pernah menerima sebarang ancaman.
“Bagi membantu siasatan polis, saya menawarkan ganjaran RM5,000 untuk maklumat kredibel yang membawa kepada penangkapan suspek itu.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Amri Firdaus Jusoh di talian 010-9198209, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222, atau balai polis berhampiran dengan segera.
“Orang ramai diminta untuk tidak menghampiri atau berdepan sendiri dengan suspek," katanya lagi.





