Presiden AS Donald Trump memberi isyarat bahawa dia sedia membiarkan tekanan ekonomi terus membebankan Iran, seolah-olah berundur daripada mengarahkan lebih banyak serangan ketenteraan walaupun Teheran mengemukakan tuntutan keras.
"Kami mengambil pendekatan tidak menunjuk-nunjuk," kata Trump, menurut portal berita Axios, yang mendakwa telah bercakap dengannya menerusi panggilan telefon singkat.
AFP melaporkan hanya seminggu lalu Trump membuat ugutan terbaharu dalam siri ancamannya untuk menyerang Iran dengan keras, sebelum menarik balik pendirian itu demi mendesak perjanjian bagi menamatkan peranang yang dimulakannya bersama Israel pada 28 Feb.
Axios juga melaporkan bahawa Trump tidak menunjukkan sebarang kekecewaan berhubung tindakan Iran melengah-lengahkan perjanjian bagi membuka semula Selat Hormuz.
Iran menuntut AS supaya terlebih dahulu menamatkan sekatan ke atas pelabuhan-pelabuhan negaranya dan menarik balik sekatan minyak, seperti yang dimeterai dalam memorandum persefahaman antara kedua-dua negara pada Jun.
Tindakan Iran menyekat laluan selat itu sejak peranang bermula menyebabkan harga bahan api melonjak tinggi dan menggoncang ekonomi dunia, sekali gus memberi tekanan kepada pentadbiran Trump tatkala pilihan raya separuh penggal pada November semakin hampir.
"Kami hanya berunding secara separuh jalan dengan mereka. Kami cuma memerhatikan Iran yang berdepan kadar inflasi melampau dan hakikat bahawa mereka tidak mempunyai wang," kata Trump.
Dia turut berkata bahawa harga minyak semakin menurun, jadi pengguna AS tidak lagi merasai beban yang terlalu berat akibat peranang tersebut.
"Segalanya akan selesai. Ia sentiasa berakhir dengan baik. Ini ibarat permainan catur," kata Trump mengenai hubungan diplomatik AS dengan Iran.





