Dalam sejarah, apabila sesebuah negara dan bangsa itu menjadi atau berperananan sebagai suatu peradaban, ia akan bertahan lama.
Tetapi sekiranya ia hanya berdiri sebagai kuasa semata-mata (baik ekonomi atau ketenteraan) hayat keberadaan tidak bertahan selamanya.
Perhatikan dinasti-dinasti yang silih berganti memerintah China. Ia datang dan pergi. Namun China sebagai peradaban hidup berterusan.
Sesebuah peradaban bertahan walaupun kekuasan politiknya naik dan turun. Begitu juga di Parsi, India, Arab dan lain-lain.
Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai negara masyarakat pendatang dengan ratusan bangsa, budaya dan bahasa yang berhijrah ke benua tersebut sehingga ia menjadi masyarakat melting pot.
Ia menjadi dunia baru yang menjanjikan. Dari rencam penghijrahan pendatang, terbentuk identiti dan semangat ke-Amerikaan yang sangat kental .
Banyak yang berhijrah ke sana dengan harapan mencapai “American Dream”
Kini AS menjadi negara demokrasi yang bangga dengan kebebasan bersuara. Ia mendabik pada dirinya sebagai penaja demokrasi dan kapitalisme.

Penyertaan AS dalam Perang Dunia Kedua, mengangkat ia sebagai kuasa dunia, selepas menundukkan Jepun dengan bom nuklear dan mengakhiri peranang.
Pasca Perang Dunia Kedua ia benar-benar menjadi kuasa dunia yang boleh menentukan peranang dan damai, tumbangnya rejim yang tidak ia restui kerana bertentangan dengan kepentingannya.
Sewaktu berlangsungnya Perang Dingin yang menyaksikan persaingan sengit antara AS dan Soviet Union, AS menggerak jentera propagandanya, tidak kalah dari apa yang dibuat oleh pihak lawannya. Rejim komunis Soviet akhirnya runtuh, dan AS menjadi satu-satunya adikuasa dunia.
Dalam puncak kejayaan, AS memacu revolusi industri dan teknologi, perdagangan, ketenteraan, kewangan, pendidikan dan banyak lagi. Sampaikan ekonomi dunia sangat terikat dengan turun naik dolar Amerika.
Pada masa yang sama AS membangun sekutunya di Eropah, Asia, Latin Amerika dan Timur Tengah.
Tidak kurang juga campur tangan politik dan ketententaraan di beberapa negara atas pertimbangan menjaga kepentingan AS sendiri.
Namun sepertimana kuasa dunia dalam sejarah, ia dibebankan oleh kemahuan besar mengekalkan kekuasaan, sehingga ia harus meletakkan peruntukan besar bagi belanja ketenteraan agar kepentingan strategik terjamin.

Inilah antara titik bermula kelemahan dari dalam, khasnya bila ekonomi dalam negeri tidak secergas dulu, inovasi industri tidak terkedepan, dan kesejahteraan dalam negeri mencerut. Banyak sumber terkuras untuk persaingan senjata.
Jurang pendapatan antara warga semakin membesar, dengan kebajikan sosial tidak lagi dijamin pemerintah.
Laungan America First
Orientasi politik semakin ke kanan, hari ini menjejas politik Amerika, sebagaimana juga di belahan dunia yang lain.
Sentimen xenophobia semakin ketara dengan ketuanan kulit putih menjadi lebih galak. Kepimpinan Presiden Donald Trump memicu kondisi lebih parah.
Slogan “American First” mulanya memikat pengundi dengan janjian dicergaskan kembali industri, luang pekerjaan dan menamatkan campurtangan ketenteraan Amerika di luar negara.
Sayangnya segala ikrar tinggal sebagai retorik politik. Soal yang wajar dipertanyakan, kenapakah AS berada dalam situasi begini?
Pendidikan untuk Peradaban
George S Counts (1889-1974) seorang pemikir Amerika yang memberi perhatian besar tentang pendidikan, beranggapan bahawa peradaban Amerika itu sangat terikat dengan pendidikan.
Tegas Counts, membangun Amerika lewat pendidikan memerlukan filsafat peradaban yang utuh.
Sebuah perabadan itu harus terangkum tiang pendidikan, sebagaimana ia perlukan sistem politik dan ekonomi.
Filsafat peradaban itu semestinya juga suatu konsepsi kehidupan.
Dasar keterbukaan kepada pendatang, kedaulatan demokrasi, dan menjamin hak dan kebebasan untuk semua, adalah sisi penting mencorakkan bangsa Amerika.
Pendidikan di AS membangun kualiti manusia. Inilah yang menjana ia sebagai kuasa peradaban.
Zaman yang mencabar ini memerlukan idea pendidikan yang maha hebat. Sekiranya pendidikan hanya untuk menyediakan kepakaran dan kemahiran untuk pekerjaan, itu bererti perabadan jangka panjang akan pincang dan mungkin tumbang.
Sebaliknya, pendidkan yang membangun peradaban, bukan setakat menyumbang kepada pembangunan material, tetapi dapat meumbuhkan nilai-nilai sejagat mempertahankan keadilan, kesamarataan, kebebasan dan demokrasi. Itulah kunci kejayaan Amerika sebagai peradaban.
Demokrasi menjamin kedaulatan undang-undang, kesaksamaan dan keadilan, dan ia mengiktiraf kemampuan manusia berpartisipasi dalam proses politik dan ekonomi.
Counts menegaskan perabadan industri yang berkembang harus berjalan sama dengan rasa pertanggungjawaban sosial yang tinggi.
Peradaban industri ini membuat penerokaan baru dalam ranah komunikasi, sehingga ia menjadi wadah untuk menyebarkan pencerahan dan rasa kamanusiaan baik dalam negeri maupun tingkat sejagat.
Namun pada masa yang sama, di saat negara dipimpin oleh tokoh authoritarian, maka wadah ini boleh saja menjadi alat propaganda yang menelurkan kebencian dan pembohongan.
Inilah yang meretakkan hubungan etnik dan kelas sosial.
Di sinilah pentingnya memiliki barisan atau golongan kritis, baik ia pemikir atau pekerja budaya, untuk dapat menyuarakan apa jua yang tak beres dalam masyarakat.
Kejayaan perabadan bagi Counts bergantung besar pada visi dan struktur pendidikan.
Matlamat pendidikan harus dalam melahirkan kematangan dan kesempurnaan individu yang sadar dengan etika dan pertanggungjawaban kolektif.
Ia juga memperkuat disiplin diri, kebebasan berfikir, sikap mandiri, peka pada persekitarannya dan tersentuh oleh tarikan seni.
Peradaban Amerika
Sememangnya keunggulan Amerika sebagai sebuah peradaban sukar dinafikan. Malah seorang penulis Regis Debray menyebut bagaimana peradaban dunia hari ini sangat terbentuk dari hegemoni budaya Amerika.

AS adalah peradaban yang banyak menghasilkan barisan pemikir, saintis, dan tokoh dalam pelbagai bidang keilmuan manusia.
Ia juga berjaya mencorak pola pikir di banyak belahan dunia, dalam hal budaya, gaya hidup, dan susunan masyarakat.
Dunia pasti memerlukan kuasa dunia, yang intinya membangun peradaban melalui pengukuhan ilmu pengetahuan, menyerbarluaskan kebajikan, mendukung keamanan dan keadilan sejagat, serta menjamin keseimbangan ekologi.
Inilah tantangan hebat, dan kita belum pasti sama ada AS hari ini dan kedepan hari, boleh menjadi pemimpin dalam menggerakkan kesejahteraan global.
Hari ini, kerancuan politik dalam telah menyebabkan AS membuat keputusan dan dasar yang sangat berbeza dari dekad-dekad sebelumnya.
Ia tidak mahu berkomitmen lagi mendukung beberapa inisiatif PBB, berpecah kongsi dari sekutunya di Kanada dan Eropah, dan membuat banyak dasar sepihak seperti memperkenal tarif berdagangan, dengan alasan melindungi kepentingan AS.
Kebebasan dalam negeri tergugat, termasuk kebebasan dunia akademik bersuara tentang isu-isu global, entah pemanasan global, sampailah peranang Gaza.
Suhu politik yang mengangkat sikap maha-patriotik (superpatriotism) kini menjadi keprihatinan dari barisan intelektual, aktivis, seniman dan wartawan Amerika.
Betapa politik kanan dan elitis serta gendang imperialisme semakin mengeras, suara-suara kritis ini terus berkumandang. Inilah satu sisi kematangan peradaban Amerika.
Berdiri dan bertegas atas nama kebebesan yang dijamin dalam perlembagaan Amerika, telah menjadi sebati dalam budaya ilmu di negara tesebut.
Memikirulang sejarah
Pada 1992 AS menyambut 500 Tahun penjelajahan Christopher Columbus ke benua Amerika. Penjelajahan tersebut membuka “Dunia Baru” sampailah terbentuknya Perserikatan Amerika pada 4 Julai 1776.
Sambutan ini juga ditandai dengan kesadaran bahawa Columbus bukanlah manusa pertama yang menemukan Amerika, kerana benua tersebut sudahpun didiami oleh penduduk asli Amerindian.

Malah pembukaan Amerika ini juga adalah lembaran tragik kepada peribumi Amerika. Secara sistematik mereka dihalau, diburu dan dihapus sehingga sebilang besar yang pupus, sedangkan yang lain tersudut dan tercerut di daerah “perlindungan” mereka.
Sejarawan Howard Zinn, ialah antara ilmuan Amerika yang lantang membicara sejarah Amerika dari lensa “Sejarah Rakyat” dengan pertimbangan bahawa sejarah harus tampil membicarakan golongan yang telah ditinggal dan disenyapkan dalam peradaban.
Pembukaan Amerika juga memulakan suatu fasa yang tak kurang kejam. Jutaan hamba dari Afrika dibawa masuk untuk mengerjakan ladang-ladang yang dibuka.
Perhambaan menjadi salah satu jentera membangunkan Amerika sehingga menjadi kuasa industri di hujung abad ke-19, mengalahkan Britain dan Perancis.
Menentang geopolitik imperialis
Noam Chomsky, pakar bahasa dari MIT tampil sebagai intelektual awam Amerika yang lantang mengkritik campur tangan ketenteraan negaranya di banyak belahan dunia. Beliau merungkai betapa kepentingan elit dan pemodal sering bersekongkol membolot monopoli sumber mentah, teknologi dan jaringan perdagangan dan kewangan.
Michael Parenti, seorang penganalisa politik juga mempersoalkan keghairahan “superpatriotism,” yang berdenyut di kalangan warga Amerika.
Sentimen patriotik ini dinyalakan dengan bara ketakutan bahawa pendatang luar akan mendominasi AS, dan kuasa luar ( sama ada blok Islam dan China) akan melemahkan Amerika, selain ideologi kiri yang akan melumpuhkan kapitalisme dan kebebasan.

Maka dipegang kuat elit konservatif ke atas media massa, pendidikan dan penggubal dasar, serta peruntukan besar untuk senjata dan intervensi tentera di luar negara, serta pengawalan ketat dalam negeri.
Parenti malah mengingatkan bahawa yang sebenar patriot itu adalah mereka yang berani melawan elitisme, dapat mengenakan cukai tinggi ke atas golongan kaya sehingga ia dapat tersalur untuk kemudahan pendidikan, kesihatan dan perumahan kepada rakyat terbanyak. Yang patriot juga tidak dibelenggu oleh rasa ‘takut’ terhadap kelompok asing.
Ke mana Amerika?
Sesungguhnya penubuhan perserikatan Amerika membuka tirai baru dalam sejarah dunia.
Ia tampil menamatkan kuasa kolonial British dan Perancis, namun akhirnya menjadi kuasa penjajah di benua Amerika.
Ia menjadi kuasa dunia dalam pelbagai ranah, dengan kuasa maritimnya hadir di setiap pelusuk dunia.
Kuasa dunia inilah juga yang pertama menggugurkan bom nuklear ke Jepun sehingga menamatkan Perang Dunia Kedua.
Banyak rejim yang runtuh dan ditegakkan di Dunia Ketiga, adalah hasil dari campurtangan Amerika.
Sebagai kuasa dunia, pastilah sisi gelapnya mendominasi kekuasaan dengan apa cara, menjadi titik hitam dalam lembaran sejarah.
Hari ini AS terus bergelut untuk mempertahan kuasa mereka di banyak belahan dunia.
Tahun-tahun ke depan akan menyaksikan pertembungan AS sebagai kuasa dunia dengan China, yang kian bergemerlapan dengan kuasa ekonomi dan diplomasi.
Harapan peradaban
Dunia hari ini dengan segala macam tantangan, memerlukan kuasa peradaban untuk meletakkan dunia balik ke pusar kedamaian, kemajuan, kebajikan, keadilan dan kemanusiaan.
AS pernah memainkan perananan ini dalam kadar dan ruang tertentu. Namun perananan yang lebih besar dan bermakna sekiranya AS cekal dan tekal berperananan sebagai pemacu peradaban dunia dan kemanusiaan sejagat.

Jika visi politik dan sumber kekayaannya dapat disalurkan kepada hal-hal tersebut, pasti dunia yang lebih aman, selamat dan makmur dapat tercipta.
Ini semua tidak mustahil sekiranya manusia dan budayanya boleh melepaskan diri dari ilusi.
Chris Hedges, wartawan terkenal Amerika, mengatakan bangsa dan negaranya harus berani keluar dari ilusi dan berdepan dengan realiti.
Banyak kerancuan pemikiran dan kepentingan tertentu telah menggagalkan bangsa dan negara Amerika.
Antara ilusi itu adalah tanggapan bahawa model pasaran bebas sahajalah yang akan menjamin kesejahteraan ekonomi, atau menggunakan kuasa ketenteraan menjadi jaminan keselamatan, ataupun dunia ini cukup sumber untuk digunakan, dan kesoakan ekologi adalah keluh kesah yang tidak berasas.
Budaya ilusi ini menurutnya adalah budaya kematian. Ia akan terkubur tanpa meninggalkan apa-apa yang bernilai. Itulah yang mungkin terjadi pada peradaban terdahulu, termasuk AS.
Namun kita tidak boleh berputus harapan. Keyakinan kepada kemampuan manusia untuk menegakkan cinta-kasih, adalah antara jalan keluar dari kemelut dan keresahan ini.
Hikmah kata dari James Baldwin, penulis dan pejuang hak sivil Amerika, mengingatkan sebegini:
“Orang yang menutup matanya kepada realiti, sebenarnya mengundang kehancuran dirinya sendiri, dan sesiapa yang tetap merasakan dirinya tidak bersalah, lama selepas ketidaksalahan tiada berwujud lagi, akan menjadikan dirinya sebagai monster.”
Pastinya dunia memerlukan kuasa peradaban yang mencerah dan mensejahtera, bukan kuasa raksaksa yang jahat dan memudarat.
AZHAR IBRAHIM pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





