Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad menyeru semua pihak agar menghentikan andaian negatif terhadap cadangan kerajaan untuk memansuhkan skim pencen bagi penjawat awam.
Dzulkefly memberitahu Dewan Rakyat agar mereka menunggu hasil kajian kerajaan dalam memperkenalkan dasar pengambilan baru secara tetap yang tidak memerlukan pencen.
“Kajian menyeluruh tentang kesan dan sebagainya tentang skim SSPA (Skim Saraan Penjawat Awam) adalah sesuatu yang wajar kita menanti.
"Kita belum dengar lagi apakah skim itu sebenarnya mungkin jauh lebih baik atau setanding dan sama taraf dengan pencen," katanya sambil menegaskan kerajaan masih melakukan kajian.
Dzulkefly menjawab soalan tambahan Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang bertanya mengenai sebab di sebalik langkah kerajaan menghapuskan skim pencen bagi penjawat awam.
Alias berkata, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan kesan yang mungkin timbul daripada penghapusan pencen di mana graduan dalam sektor kritikal seperti kesihatan, keselamatan, dan pendidikan, mungkin memilih untuk bekerja di sektor swasta.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bulan lalu berkata cadangan pengambilan tetap yang tidak memerlukan pencen bagi penjawat awam akan menunggu kelulusan kabinet sebelum dibawa ke Parlimen.
Anwar berkata sebarang keputusan selepas kajian itu akan turut terpakai kepada ahli politik dan lantikan politik.
Bagaimanapun, penjawat awam dan ahli politik yang layak menerima pencen sedia ada tidak akan menerima kesan daripada dasar baru tersebut.





