Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Telegram supaya menyekat saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas, daripada membolehkan mereka daripada menyebarkan kandungan berbahaya yang boleh mengancam ketenteraman awam di platform tersebut.
Peguam SN Nair, yang mewakili Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam saman berterusan terhadap aplikasi pemesejan itu, mengesahkan keputusan yang disampaikan oleh Hakim Mahazan Mat Taib di kamar pagi tadi.
Dia memberitahu pemberita selepas prosiding bahawa hakim juga mengeluarkan perintah injunksi larangan hari ini, yang akan berkuat kuasa sehingga kes tersebut diselesaikan.
Edisi Siasat dan Edisi Khas adalah saluran Telegram tanpa identiti yang menerbitkan pelbagai dokumen, gambar dan dakwaan terhadap ahli politik dan pegawai kerajaan — termasuk dari kerajaan terdahulu dan kini — serta sering mendakwa ia berdasarkan maklumat bocor dari dalaman agensi penguatkuasaan.
Pada Jun lalu, MCMC mengumumkan telah memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran Telegram iaitu Edisi Siasat dan Edisi Khas.
MCMC mendakwa kedua-dua saluran itu dikenal pasti menyebarkan kandungan yang melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kandungan sedemikian, katanya, berpotensi untuk menghakis kepercayaan terhadap institusi awam dan mengganggu ketenteraman awam.
Suruhanjaya itu menambah bahawa tindakan tersebut merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya memandangkan Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP©].





