Tidak semua perjalanan seorang anak seni bergerak mengikut garis masa yang sama. Ada penyanyi yang bertemu lagu besar pada awal kerjaya dan tidak perlu menunggu terlalu lama sebelum nama mereka berada di pentas yang selama ini hanya dilihat dari jauh.
Namun ada juga perjalanan yang mengambil masa lebih panjang, dipenuhi beberapa percubaan yang hampir menjadi, beberapa keputusan yang tidak menyebelahi dan detik apabila seseorang terpaksa bertanya kepada dirinya sendiri sama ada masih berbaloi untuk terus mencuba.
Perjalanan Wani Kayrie menuju Anugerah Juara Lagu (AJL) berada dalam kelompok kedua itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Wani Kayrie Guna Mikrofon Istimewa Pada Malam AJL40 – ‘Dibeli Tahun 2019 Dengan Titik Peluh Sendiri’
ARTIKEL BERKAITAN: Pereka Fesyen Tempatan Puji Personaliti Wani Kayrie – ‘Artis Muda Yang Perlu Disokong, Baik & Tak Berkira’
Pernah Rasa Kecewa
Lebih sedekad selepas Jangan-Jangan menjadi lagu pertamanya yang memasuki pencalonan Muzik-Muzik pada 2015, Wani akhirnya mendapat peluang yang selama ini dinantikan apabila Cak Cak Cekuk melayakkannya ke Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).
Ia merupakan penyertaan pertamanya sebagai finalis AJL, satu pencapaian yang membawa makna lebih besar apabila keseluruhan perjalanan sebelumnya diambil kira.

Wani tidak tiba di AJL menerusi percubaan pertama. Ada lagu yang datang dan pergi, ada genre yang dicuba dan ada karya yang hampir membawanya lebih jauh sebelum perjalanan terhenti. Paling jelas ialah Kamu Kamu yang membawa Wani ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38) pada 2023, tetapi tidak terpilih untuk mara ke AJL38.
Ketika itu, Wani secara terbuka mengakui rasa kecewa dan menceritakan bagaimana dirinya sudah bertahun-tahun mencuba untuk mencari karya yang mampu membawanya ke pentas AJL. Dia pernah tertanya-tanya lagu bagaimana lagi yang perlu dihasilkan supaya bakat dan usahanya dipandang, malah mengakui pernah terasa mahu berputus asa.
Pengakuan itu membuatkan detik Wani akhirnya berdiri sebagai finalis AJL40 terasa lebih signifikan. Ia bukan sekadar tentang sebuah lagu yang berjaya melepasi proses penjurian, tetapi menjadi sambungan kepada cerita yang pernah diluahkannya beberapa tahun sebelum itu ketika pentas AJL masih menjadi sesuatu yang dikejar tetapi belum mampu digenggam.
Apabila Hampir Berputus Asa, Tetapi Memilih Untuk Kembali
Menjelang kejayaan Cak Cak Cekuk ke AJL40, Wani mendedahkan kegagalan beberapa percubaan terdahulu hampir mematahkan semangatnya untuk terus mengejar pentas tersebut. Namun pengalaman membuat persembahan pembukaan pada edisi AJL sebelum ini mengubah fikirannya.
Walaupun ketika itu dia berada di pentas tersebut bukan sebagai finalis, pengalaman berkenaan mengembalikan semangatnya untuk memberi fokus semula kepada karya sendiri. Bagi Wani, pengalaman itu menjadi alasan untuk mengetuk pintu yang sama sekali lagi.
View this post on Instagram
Kemudian datang Cak Cak Cekuk ciptaan Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh. Apabila lagu tersebut diumumkan sebagai salah satu finalis AJL40, Wani tidak dapat menahan sebak. Selepas hampir 16 tahun bergelar anak seni, akhirnya sebuah lagunya akan dipersembahkan sebagai karya yang bertanding di pentas AJL.
Sebelum AJL40 berlangsung, Wani sendiri mengakui bahawa sifat rancak Cak Cak Cekuk memberikan cabaran tersendiri kerana dia perlu memastikan elemen persembahan dapat diberikan tanpa mengabaikan aspek vokal. Pada masa sama, dia memberikan bayangan mahu melakukan sesuatu di luar kebiasaannya untuk penyertaan pertama di AJL.

Pada malam 15 Ogos lalu, Wani menunaikan janji tersebut. Berbusana tradisional serba merah jambu, dia memenuhi pentas dengan barisan penari, gerak tari bernuansa tradisi serta persembahan yang terang dan bertenaga. Namun antara visual yang paling mudah melekat dalam ingatan ialah keberaniannya menggunakan aksi udara sebagai sebahagian daripada struktur persembahan.
Wani membuka persembahan Cak Cak Cekuk dengan berada di udara sebelum turun menyertai koreografi di pentas. Pada penghujung lagu, dia kembali ke udara untuk menutup persembahan.
Untuk seorang finalis kali pertama, pilihan itu memperlihatkan Wani tidak datang sekadar mahu merasai pengalaman berada di AJL. Dia mahu menggunakan ruang tersebut sepenuhnya.
Namun aksi udara bukan satu-satunya perkara yang membuatkan persembahan Wani meninggalkan kesan. Apa yang lebih menarik ialah bagaimana keseluruhan pementasan Cak Cak Cekuk terasa selari dengan kekuatannya sebagai penghibur yang bertenaga, ekspresif dan tidak kekok bermain dengan pergerakan di atas pentas
Bukan Cerita Simpati, Tetapi Ketekunan Yang Harus Diraikan
Perjalanan panjang Wani tidak seharusnya diraikan kerana orang perlu bersimpati kepadanya. Melihat pencapaiannya melalui lensa simpati sahaja akan mengecilkan perkara yang sebenarnya lebih layak diberikan kredit, iaitu ketekunan yang ditonjolkan Wani.
Itulah sebabnya Cak Cak Cekuk tidak terasa seperti kejayaan yang muncul secara tiba-tiba. Ia mempunyai sejarah di belakangnya. Bakat boleh membuatkan seseorang dipandang, tetapi untuk terus berada dalam industri sehingga peluang yang tepat datang memerlukan semangat juang yang tinggi.
Mengenali Wani dalam ruang kerja juga membuatkan perjalanan ini terasa lebih mudah untuk diraikan. Dalam kesempatan temu bual dan pertemuan sepanjang kerjayanya, Wani sentiasa hadir sebagai seorang yang menyenangkan untuk diajak bekerja. Sapaan ‘Abang Padin, apa khabar?’ serta senyuman manis sering diberikan jika bersua muka.

Dia bersopan santun, mudah memberikan kerjasama dan tidak pernah menjadikan pengalaman atau tempoh panjangnya dalam industri sebagai alasan untuk mengambil mudah sesuatu perkara. Di sebalik karakter ceria yang sering dilihat khalayak, ada sisi Wani yang cukup konsisten daripada dekat iaitu kesungguhannya bekerja. Setiap kali bertemu, dia masih menunjukkan keterujaan yang sama untuk bercakap tentang karya, masih memberi ruang kepada media menjalankan tugas dan masih membawa dirinya dengan baik.
Perkara seperti ini mungkin tidak pernah muncul dalam markah pertandingan atau dapat dilihat hanya melalui beberapa minit persembahan di televisyen, tetapi ia menjadi sebahagian daripada sebab mengapa pencapaian Wani ke AJL40 terasa begitu menyenangkan untuk disaksikan.
Justeru apabila akhirnya Wani berjaya berdiri di pentas AJL sebagai finalis, peluang itu memang sudah selayaknya sampai kepadanya. Bukan dalam erti kata bahawa perjalanan panjang secara automatik melayakkan seseorang untuk menang, kerana AJL tetap sebuah pertandingan yang mempunyai penilaian tersendiri.
Tetapi selepas melihat bagaimana Wani terus bekerja, terus mencuba dan tetap membawa dirinya dengan baik sepanjang perjalanan, sukar untuk tidak berharap agar pentas ini membuka lebih banyak ruang untuknya selepas ini.
Semoga AJL Buka Lebih Banyak Pintu
AJL40 mungkin tidak berakhir dengan trofi di tangan Wani, tetapi kemenangan tidak semestinya menjadi satu-satunya perkara yang boleh dibawa pulang daripada sebuah pentas besar.
Kalau Cak Cak Cekuk menjadi lagu yang akhirnya membuka pintu AJL buat Wani, mudah-mudahan pintu itu tidak tertutup selepas satu malam sahaja. Biar penyertaan pertamanya menjadi permulaan kepada lebih banyak ruang, lebih banyak karya dan lebih banyak peluang untuk Wani selepas ini.
Kerana untuk seseorang yang sudah begitu lama berusaha mendapatkan tempatnya, mungkin AJL40 bukan penghujung kepada sebuah penantian. Mungkin ia baru sahaja membuka pintu yang seterusnya.
The post Tak Semua Kemenangan Datang Dengan Trofi, Wani Kayrie Buktikan Ketekunan Juga Layak Diraikan first appeared on OHBULAN!.





