Peguam kepada bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), Jontih Enggihon memohon maaf kepada seorang wanita yang gambarnya telah digunakan dalam kempen fitnah terhadap anak guamnya.
Chin Tek Ming memberitahu Malaysiakini imej Jontih disunting dan diletakkan bersebelahan dengan seorang wanita yang tidak dikenali, sebelum disebarkan di media sosial.
"Saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada wanita itu kerana terheret dalam perkara ini. Ini tindakan keji dan terdesak untuk menjatuhkan maruah seseorang dan malangnya, dia menjadi mangsa sampingan.
"Saya akan membuat laporan polis mengenai perkara ini esok," kata peguam yang berpangkalan di Kota Kinabalu itu.
Sepina terhadap Hajiji, Adun Sabah
Pada Sabtu lalu, Chin yang juga penasihat undang-undang Warisan, mengumumkan rancangan untuk memanggil Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dikaitkan dengan skandal rasuah untuk hadir ke mahkamah.
Bercakap pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina Warisan di Kota Kinabalu, dia memberikan bayangan proses mahkamah bakal menyaksikan pendedahan besar, serta mengajak orang ramai untuk bersiap sedia menyaksikan drama perbicaraan.

"Saya mewakili Jontih. Apabila kes ini dibicarakan, kami akan memanggil Hajiji, Adun-Adun, dan individu lain yang terlibat—lebih daripada 20 orang semuanya.
"Kami akan memaksa mereka untuk memberi keterangan. Jadi, simpan stok kacang dan bersiap sedia untuk menonton pertunjukan," katanya.
Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) telah memfailkan saman terhadap Jontih dan seorang pihak ketiga luar, Tei Jiann Chieng, selepas bekas CEO itu menuduh penggantinya, Natasha Sim, serta Hajiji Noor atas salah laku dan penyalahgunaan kuasa.
Untuk rekod, Hajiji merupakan pengerusi syarikat milik kerajaan negeri itu.
Menurut laporan, tuntutan saman SMM dibuat bagi mendapatkan ganti rugi atas penipuan, pelanggaran tanggungjawab fidusiari dan kerahsiaan, campur tangan terhadap dokumen rasmi, konspirasi untuk mencederakan melalui cara yang tidak sah, serta kemungkinan pakatan sulit dengan pihak ketiga.
[Baca berita asal]





