Kementerian Pengangkutan (MOT) mendedahkan lori muatan batu kerikil yang terlibat dalam nahas tragis membabitkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan bulan lepas tidak mempunyai kebenaran sah untuk membawa muatan berkenaan.
Laporan awal siasatan kemalangan mendapati lori jenis tipper itu sepatutnya hanya dibenarkan membawa muatan arang batu, namun ketika kejadian ia membawa batu kerikil dengan muatan mencecah 40,960 kilogram - melebihi 70 peratus daripada had muatan yang dibenarkan.

Kenderaan itu juga didapati tidak dilengkapi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) seperti diwajibkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
"Lori berkenaan melanggar syarat Lesen Kebenaran Bertulis yang diperuntukkan di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," menurut laporan itu.
Dalam nahas pada 8.54 pagi 13 Mei lepas, sembilan anggota FRU terkorban manakala sembilan lagi cedera selepas lori FRU yang dinaiki mereka bertembung dengan lori tipper berkenaan yang dipercayai memasuki laluan bertentangan.
Laporan berkenaan turut menyatakan bahawa siasatan lanjut oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dijalankan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat.

“Ketiadaan tali pinggang keledar dan reka bentuk tempat duduk ‘bench’ di bahagian belakang lori FRU menyumbang kepada jumlah korban yang tinggi,” menurut laporan itu.





