Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di Sepang hari ini, selepas mengaku bersalah memuat naik hantaran bersifat jelik terhadap institusi diraja menerusi akaun Facebook miliknya, Ogos tahun lepas.
Mat Derus Ali, 64, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, Mat Derus didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui akaun Facebook "Mat Derus" pada 2.15 pagi, 20 Ogos 2024.
Hantaran bekas kakitangan GiatMARA itu dilihat di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 1, Jalan Impact, Cyberjaya, kira-kira 12.59 tengah hari pada 21 Ogos 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya MCMC Fadhli Ab Wahab memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap OKS memandangkan kandungan yang dimuat naik bukan bersifat neutral atau wacana sah, tetapi penghinaan nyata terhadap institusi diraja.
“Kandungan tersebut turut mengandungi elemen provokasi kaum dan agama termasuk naratif yang mengaitkan kaum tertentu yang berpotensi menanam rasa curiga, kebencian dan permusuhan antara komuniti dengan masyarakat majmuk serta mengapi-apikan emosi awam,” katanya.
Ahmad Fuad sebelum menjatuhkan hukuman mengingatkan bahawa perkara berkaitan agama, raja dan kaum (3R) merupakan sentimen sensitif yang tidak seharusnya disentuh oleh mana-mana pihak.
“Perkara 3R jangan buat main-main. Agama contohnya, kalau orang bukan Islam sentuh (mengenai) agama Islam, kamu marah bukan? Sebab itu, undang-undang (Malaysia) mengenakan hukuman berat (terhadap kesalahan 3R),” katanya.





