Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang dimenangi Barisan Nasional (BN) semalam dan menerima keputusan itu sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.
Timbalan Pengerusi PH Anthony Loke berkata gabungan itu sememangnya menjangkakan saingan sengit berikutan momentum sokongan terhadap kerajaan negeri ketika ini, namun PH masih berjaya memenangi lapan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata parti itu pula berjaya mempertahankan enam daripada 10 kerusi yang dimenanginya pada PRN Johor sebelum ini, sekali gus membuktikan DAP masih mempunyai asas sokongan yang kukuh, khususnya di kawasan bandar.
“Walaupun kami (DAP) hanya mempertahankan enam daripada 10 kerusi yang dimenangi pada PRN sebelum ini, pola sokongan terhadap PH sebenarnya masih kekal.

"Kesemua enam kerusi itu dimenangi dengan majoriti melebihi 50 peratus,” katanya selepas melancarkan Kampung Angkat MADANI Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Kampung Chennah di Jelebu hari ini.
Pada PRN Johor semalam, BN memperoleh majoriti dua pertiga selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN manakala PH memenangi lapan kerusi.
Loke berkata perubahan kepada pertandingan satu lawan satu turut menyebabkan pemindahan undi yang lebih memihak kepada BN, sekali gus memberi kelebihan kepada gabungan itu di beberapa kerusi yang sebelum ini dimenangi menerusi pertandingan tiga penjuru.
“Sudah tentu keputusan di Johor ini mengecewakan PH. Namun, setiap hari adalah permulaan baharu.

“Kami menghormati keputusan rakyat Johor kerana itulah hak mereka dalam sistem demokrasi,” katanya.
Beliau berkata keputusan PRN Johor tidak boleh dijadikan ukuran mutlak kerana setiap negeri mempunyai landskap politik, isu dan dinamik politik yang berbeza.
Penyandang kerusi DUN Chennah itu berkata PH kini memberi tumpuan untuk mempertahankan kerusi sedia ada serta memperkukuh sokongan rakyat menjelang PRN Negeri Sembilan.
“Dinamik politik di Negeri Sembilan berbeza kerana PH ialah penyandang kerajaan negeri.

“Fokus kami adalah untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi dan mendapatkan semula mandat rakyat bagi terus membentuk kerajaan negeri.
“Pada PRN Negeri Sembilan lepas, PH memenangi 17 kerusi manakala BN memenangi 14 kerusi. Justeru, kami masih mempunyai asas yang kukuh untuk mempertahankan kerusi sedia ada,” katanya.
Beliau berkata semua calon PH perlu bekerja lebih keras untuk mempertahankan 17 kerusi DUN yang dimenangi gabungan itu pada PRN Negeri Sembilan lepas, di samping berusaha memenangi lebih banyak kerusi.





