Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menjanjikan rombakan "berani dan besar" bagi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu jika dia dipilih semula dalam pengundian parti Ahad ini.
Dia berkata, jika dipilih semula, CEC akan menyaksikan rombakan besar-besaran bagi membolehkan pemimpin berbeza mengambil alih perananan baru.
Bagaimanapun, Loke menegaskan bahawa ia tidak menyasarkan kepada mana-mana individu atau kedudukan tertentu.
“Kita akan melihat rombakan yang ketara dan desakan untuk kepimpinan yang lebih muda, tetapi ini tidak bermakna mengorbankan sesiapa.
“Ia hanya mengenai pemimpin yang mengambil perananan berbeza pada masa yang berbeza,” katanya dalam temu bual bersama media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, hari ini.
Dia menyatakan keyakinan bahawa semua pemimpin parti akan menerima perubahan ini.
“Keadaan yang berbeza memerlukan keperluan dan strategi yang berbeza, dan saya percaya setiap pemimpin akan memahami keperluan untuk pelarasan sedemikian,” kata Menteri Pengangkutan itu.
Loke menyatakan walaupun itu adalah rancangannya untuk parti, ia bergantung kepada sama ada dia dipilih semula dan keputusan pertandingan kepimpinan.
Dia berkata cadangan ini didorong oleh kepercayaan bahawa walaupun DAP kini berada dalam kedudukan kukuh dengan lebih 100 wakil rakyat, parti itu tidak boleh leka.
Sebaliknya, dia berkata DAP mesti sentiasa memastikan pertumbuhan dan kekuatan yang berterusan.





