Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli tidak menganggap seruan Presiden PKR Anwar Ibrahim supaya bekas pemimpin dan aktivis kembali ke landasan perjuangan parti itu sebagai ditujukan kepadanya atau Nik Nazmi Nik Ahmad.
Sebaliknya, bekas menteri ekonomi itu berpendapat seruan berkenaan lebih berkemungkinan ditujukan kepada beberapa bekas pemimpin PKR yang pernah meninggalkan parti atau dipecat.
"Saya lebih cenderung merasakan dia (Anwar) merujuk kepada kumpulan-kumpulan seperti Tian Chua, Dr. Xavier (Jayakumar), dan sebahagian daripada mereka yang pernah bersama-sama Azmin Ali dulu.
"Bukan kami," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, malam tadi.
Semalam, Anwar ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR memohon maaf dan merayu kepada bekas pemimpin serta aktivisnya supaya kembali ke landasan perjuangan parti berkenaan.
"Pertama, otai-otai yang kadang-kadang ialah biasa.. sila kembali…rakan-rakan saya yang lain, yang mungkin rasa sedikit terpinggir.
"Kalau ada apa-apa kesilapan kita, saya mohon maaf, kembalilah kepada landasan perjuangan kita," katanya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Ucapan Anwar itu tidak menyebut secara khusus nama Rafizi, Nik Nazmi atau mana-mana bekas pemimpin PKR.
Terdahulu, Ketua Penerangan Wanita PKR Ginie Lim memuat naik gambar bersama Tian Chua dan Xavier Jayakumar di kongres berkenaan.
Tian dipecat daripada PKR selepas bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15, manakala Xavier meninggalkan parti itu pada 2021 dan menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.
AUKU dihapus atau ‘tukar baju’?
Sementara itu, Rafizi turut mengulas pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).
Menurutnya penilaian terhadap langkah tersebut turut bergantung pada kandungan undang-undang yang bakal menggantikan Auku dan tahap autonomi yang diberikan kepada universiti awam.
"Apa yang kita tak nak ialah ia sekadar jadi bahan politik dan kempen.
"Akta Auku dihapuskan, tapi yang menggantikannya nanti cuma nama lain tapi barang yang sama.

"Autonomi sebenar bermakna kerajaan perlu melepaskan pegangan kuasa pentadbiran termasuk menyerahkan kuasa pelantikan Naib Canselor (VC) sepenuhnya kepada Senat Universiti dan menyalurkan peruntukan tahunan secara endowment tanpa syarat.
"Tak payah tanya menteri, tak payah tanya PM. Kalau kerajaan masih kena luluskan bajet dan kawal pentadbiran, itu bukan reformasi. Kita kena tengok dulu akta pengganti itu betul-betul reformasi atau cuma wayang," katanya lagi.
Menurut Rafizi, usaha memberikan autonomi lebih luas kepada universiti awam telah dibincangkan ketika Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dirangka di peringkat Kementerian Ekonomi.
RMK13 sememangnya menggariskan transformasi tadbir urus pendidikan tinggi, termasuk dalam aspek autonomi dan pendanaan universiti. Bagaimanapun, bentuk undang-undang pengganti Auku serta mekanisme pelantikan kepimpinan dan pendanaan universiti masih belum diperincikan.

Dalam ucapan dasarnya, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberikan kebebasan dan ruang demokrasi yang lebih luas kepada mahasiswa.
Dia berkata cadangan pemansuhan itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet pada Rabu depan.
Menurut Anwar, keputusan berkenaan dibuat selepas kerajaan menerima memorandum dan pandangan kepimpinan mahasiswa yang mahukan perubahan lebih menyeluruh terhadap akta tersebut.
Auku sekian lama dikritik oleh aktivis mahasiswa dan kumpulan reformasi yang berpandangan bahawa beberapa peruntukannya mengekang kebebasan bersuara, kegiatan politik mahasiswa dan autonomi akademik di institusi pengajian tinggi awam.
Manifesto Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Umum 2018 turut menjanjikan ikrar pemansuhan akta itu.
Walaupun kerajaan telah menyatakan komitmen untuk memansuhkannya, tahap sebenar reformasi hanya dapat dinilai selepas kandungan rang undang-undang pengganti, termasuk peruntukan mengenai tadbir urus, pendanaan dan autonomi universiti diumumkan.





