Walaupun terdapat arahan kerajaan untuk menghentikan operasi, syarikat e-hailing Maxim Malaysia berkata ia akan terus beroperasi di seluruh negara ini.
Maxim berkata ia sedang berhubung dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyelesaikan perkara itu dan mengekalkan reputasinya.
"Maxim kekal komited terhadap keselamatan awam dan pematuhan peraturan," kata syarikat itu dipetik Malay Mail.
Ia menambah bahawa semua pemandu rakan kongsi menjalani pemeriksaan dokumen untuk memastikan keselarasan dengan garis panduan e-hailing yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan Kementerian Pengangkutan.
Syarikat itu, yang telah beroperasi di Malaysia selama lima tahun, turut menekankan kerjasamanya dengan sekolah memandu dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk membantu pemandu baru mendapatkan lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan memahami peraturan lalu lintas.
Pada 9 Mei, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Apad telah mengarahkan dua aplikasi e-hailing Rusia - InDrive dan Maxim - untuk menghentikan operasi kerana didakwa beroperasi secara haram.
Loke berkata arahan itu berkuat kuasa mulai 24 Julai.
Namun, katanya, kedua-dua syarikat pengangkutan boleh membuat rayuan.
Arahan itu dikaitkan dengan kenyataan Persatuan Penunggang P-Hailing Malaysia pada 5 Mei, yang menggesa tindakan penguatkuasaan tegas terhadap syarikat itu, termasuk menyekat akses kepada mereka, kerana menawarkan perkhidmatan tanpa mematuhi peraturan di bawah Akta sedia ada.
Persatuan itu mendakwa bahawa kedua-dua platform itu gagal memastikan pemandu mereka memiliki lesen PSV yang sah, seperti yang dikehendaki di bawah undang-undang.





