31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, June 26, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Laporan PAC pasal insurans, caj hospital: NGO gesa k’jaan bertindak

    Shopee Sale

    Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial menggesa kerajaan supaya menganggap laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai kenaikan premium insurans perubatan, caj hospital swasta dan kesannya terhadap penjagaan kesihatan sebagai “mandat untuk bertindak”.

    Ketua pegawai eksekutif NGO itu, Azrul Khalib berkata laporan setebal 1,999 muka surat yang dibentangkan di Parlimen semalam mengesahkan pasaran penjagaan kesihatan swasta di Malaysia memerlukan perlindungan pengguna yang lebih kukuh dan khusus.

    “Dapatan ini amat membimbangkan tetapi tidak mengejutkan. PAC telah mengenal pasti isu bil hospital yang bermasalah, kenaikan caj berlebihan, perbezaan harga antara pesakit berinsurans dan pesakit yang membayar tunai, kumpulan risiko insurans tertutup, kenaikan premium mendadak, serta kuasa kawal selia yang tidak mencukupi untuk mengawal komponen bukan profesional dalam bil hospital swasta.

    “Ini bukan amalan industri yang terpencil. Ia gejala kepada masalah struktur dalam tadbir urus penjagaan kesihatan swasta, yang berpijak pada realiti dihadapi pesakit, keluarga, petugas kesihatan dan masyarakat.

    “Laporan PAC mengesahkan aturan kawal selia sedia ada bersifat berpecah-pecah dan tidak memadai untuk menyediakan perlindungan pengguna yang mencukupi di dalam ruang penjagaan kesihatan swasta,” tambahnya.

    Jurang kawal selia tekan pengguna

    Azrul berkata Bank Negara Malaysia mengawal selia syarikat insurans dan pengendali takaful, tetapi tidak meliputi pentadbir pihak ketiga yang bertindak sebagai peranantara perubatan dan sebahagian besarnya masih tidak dikawal selia.

    Katanya walaupun Kementerian Kesihatan mengawal selia kemudahan penjagaan kesihatan, kementerian itu mempunyai kuasa terhad terhadap kebanyakan komponen bil, yang pada asasnya ditentukan oleh pasaran bebas.

    “PAC kini telah memasukkan ke dalam rekod rasmi Parlimen perkara yang rakyat Malaysia katakan dan alami selama bertahun-tahun.

    "Pengguna tersepit antara bil hospital yang semakin meningkat, premium insurans dan takaful yang semakin tidak mampu dibayar, serta dipaksa berdepan dilema membabitkan kos penjagaan kesihatan dan malapetaka kewangan.

    “Perbuatan saling menolak tanggungjawab antara agensi tidak lagi boleh diterima sebagai tindak balas dasar. Tiada satu badanpun diberi mandat untuk memastikan ketelusan, layanan adil dan perlindungan pengguna dalam penjagaan kesihatan swasta,” tambahnya.

    Tubuh suruhanjaya bebas

    Pusat Galen, sebuah organisasi bebas penyelidikan dasar awam dan advokasi, berkata pihaknya menyokong syor PAC supaya mekanisme tadbir urus bebas yang baru diwujudkan bagi penjagaan kesihatan swasta.

    NGO itu menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Penjagaan Kesihatan Swasta yang bebas melalui undang-undang, dengan mandat perlindungan pengguna yang jelas.

    Menurut pusat itu, suruhanjaya berkenaan perlu diberi kuasa untuk:

    • Meneliti, meluluskan dan mengehadkan kenaikan caj hospital swasta serta premium insurans perubatan;

    • Mewujudkan amalan bil hospital yang seragam dan telus;

    • Menyiasat amalan harga bersifat diskriminasi dan kenaikan caj berlebihan;

    • Mengawal selia hubungan antara hospital, syarikat insurans, pengendali takaful dan pentadbir pihak ketiga;

    • Menerbitkan maklumat perbandingan mengenai harga, kadar penolakan tuntutan, kenaikan premium dan aduan pesakit;

    • Mengenakan penalti bermakna terhadap kelakuan tidak adil atau bersifat menindas; dan

    • Menyediakan mekanisme aduan dan rayuan pengguna yang bebas serta mudah diakses.

    MENARIK:  Pendedah maklumat utus surat terbuka pada Agong

    “Pindaan terhadap Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 sangat penting. Namun, pindaan semata-mata tidak mencukupi melainkan kuasa penguatkuasaan, keupayaan teknikal, kebebasan dan tanggungjawab diletakkan dengan jelas di bawah sebuah pengawal selia yang mempunyai sumber mencukupi,” kata Azrul.

    “Dapatan PAC mengenai kumpulan insurans tertutup dan pengundian risiko juga menuntut perhatian segera. Pemegang polisi lama tidak patut dihukum hanya kerana syarikat insurans menutup kumpulan risiko, menarik pelanggan lebih sihat ke dalam portfolio baru dan meninggalkan pemegang polisi lebih tua atau kurang sihat berdepan premium yang semakin meningkat,” tegasnya.

    Azrul berkata produk insurans kesihatan dan takaful sepatutnya bertujuan menghimpun serta berkongsi risiko, bukannya secara beransur-ansur mengenakan harga yang menyebabkan golongan paling memerlukan perlindungan tersingkir.

    “Malah produk asas MHIT yang dicadangkan juga berasaskan konsep asas ini,” tambahnya.

    Syor kepada BNM

    Dia turut menggesa Bank Negara Malaysia mewajibkan aturan perkongsian risiko yang lebih adil merentas portfolio setara, melarang amalan yang merugikan pemegang polisi jangka panjang, serta memastikan pelarasan premium tahunan dibuat secara lebih kecil dan boleh dijangka dan bukannya membenarkan kenaikan mendadak 40 peratus, 50 peratus atau sehingga 70 peratus seperti yang telah berlaku.

    “Jumlah bayaran bersama yang dikenakan juga perlu dihadkan setiap tahun, sama seperti yang dilakukan di Singapura.

    “Pelarasan premium interim mungkin menawarkan kelegaan sementara, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah asas. Tanpa mengawal kos penjagaan kesihatan swasta, kenaikan premium besar hanya akan kembali selepas tempoh interim,” tegasnya.

    Azrul berkata Pusat Galen turut menyokong pelaksanaan Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG), yang boleh meningkatkan kecekapan dan mengurangkan bil berasaskan item secara tidak perlu.

    Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan DRG mesti disokong oleh data kos yang boleh dipercayai, pengekodan klinikal yang seragam, rekod perubatan elektronik yang boleh saling beroperasi, audit bebas dan perlindungan bagi mengelakkan hospital menolak pesakit kompleks atau berisiko tinggi.

    “Kita perlu belajar daripada negara dan wilayah lain, seperti Taiwan, dalam mengatasi cabaran ini.

    “PAC betul bahawa krisis ini mempunyai kesan terhadap sistem kesihatan awam. Apabila individu tidak lagi mampu membayar insurans swasta atau rawatan hospital, mereka tidak berhenti menjadi sakit. Mereka beralih ke hospital kerajaan, sekali gus meningkatkan masa menunggu, beban kerja dan tekanan terhadap perbelanjaan awam.

    “Namun, tanggungjawab terhadap inflasi perubatan tidak boleh dialihkan kepada pesakit melalui dakwaan bahawa gaya hidup tidak sihat atau saringan yang tidak mencukupi menjadi punca utama kenaikan premium. Pencegahan memang penting, tetapi ia tidak dapat menjelaskan kenaikan caj dan bil yang berlebihan, kawal selia lemah atau amalan tidak adil. Orang ramai tidak sepatutnya dikenakan penalti atau dihukum kerana jatuh sakit atau semakin tua.

    “Malaysia tidak memerlukan satu lagi penyelesaian sementara yang hanya menampal masalah. Ia memerlukan reformasi struktur, kebertanggungjawaban yang jelas dan sebuah institusi bebas yang mampu membawa keadilan serta disiplin kepada penjagaan kesihatan swasta,” tambahnya.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah