Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa menyiasat segera kenyataan ahli akademik Teo Kok Seong yang mendakwa bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menjadi punca perpecahan kaum di negara ini.
Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) S Subramaniam berkata kenyataan Teo sangat serius dan KPM perlu segera memberi penjelasan yang sewajarnya.
"Saya meminta KPM untuk menyiasat kenyataan dia bahawa SJKC menjadi punca perpecahan kaum di negara ini.
"Ini kerana dasar pendidikan SJKC dan SJKT disediakan oleh KPM. Jika seorang pakar akademik terasa ada yang tak kena dengan SJKC, maka KPM perlu bertanggungjawab.
"Adakah KPM tidak risau dengan dasar pendidikan sekolah vernakular sehingga ada ahli akademik bimbang dengan perpaduan negara?Yang kita nak tahu adakah KPM setuju dengan kenyataan itu?" katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, Subramaniam berkata dia secara peribadi tidak setuju dengan pendirian Teo.
"Bagi, saya ini satu lagi usaha kerajaan hari ini memberi gambaran negatif terhadap sekolah vernakular. Mereka mula dengan SJKC, lepas ini SJKT.
"Sebagai seorang yang dihormati, dia sepatutnya memberitahu di mana beliau dapat keputusan kajian tersebut, dia melawat berapa sekolah, jumpa berapa murid atau ibu bapa. Ini perlu dijawab.
"Kenyataan Teo juga secara tidak langsung memberikan perspektif bahawa sekolah menengah kebangsaan gagal memupuk semangat perpaduan di kalangan murid berlainan etnik. Kalau SJKC rasis, kenapa isu tersebut tidak dapat diselesaikan di sekolah menengah? Ini pun KPM perlu jawab,” katanya.
Sebelum ini, Teo yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) itu mendakwa perbualan dengan persepsi negatif mengenai masyarakat Melayu dan India adalah norma biasa di kalangan keturunan Cina di Malaysia, lebih-lebih lagi dengan kemunculan media sosial.
"Komen-komen mereka di media sosial, kebanyakannya merendahkan orang Melayu,” kata bekas Felo Kanan Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.
Teo pertama kali menimbulkan isu berkenaan ketika temu ramah bersama portal The Merdeka Times.
"Salah satu punca adalah orang Cina memandang rendah terhadap orang Melayu.
"Mereka enggan berintegrasi, mereka hanya mempelajari asas bahasa Melayu untuk lulus peperiksaan tetapi menolak untuk melakukan lebih daripada itu," dakwanya.
Malaysiakini telah menghubungi KPM untuk komen.





