Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Sabtu, seorang pegawai ditembak dalam insiden pada Majlis Makan Malam Wartawan Rumah Putih di Washington, DC, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Seorang pegawai ditembak, tetapi terselamat kerana dia memakai jaket kalis peluru yang sangat bagus.
"Dia ditembak dari jarak yang sangat dekat dengan pistol yang sangat kuat, dan jaket itu berfungsi dengan baik. Saya telah bercakap dengan pegawai itu dan dia dalam keadaan baik,” kata Trump pada sidang akhbar.
Kenyataan itu dibuat selepas presiden dan Wanita Pertama AS Melania Trump, dibawa keluar daripada acara tahunan di Washington Hilton susulan insiden berkaitan keselamatan.

Presiden berkata insiden itu menonjolkan keperluan untuk dewan utama Rumah Putih yang sedang dalam pembinaan, yang katanya akan dilengkapkan lebih baik untuk menganjurkan acara dengan tahap keselamatan tinggi.
"Ia bukan bangunan yang betul-betul selamat dan saya tidak mahu mengatakan ini, tetapi inilah sebabnya kita perlu mempunyai semua ciri yang kita rancangkan di Rumah Putih. Ia sebenarnya ruang yang lebih besar, dan ia lebih selamat.
“Ia kalis dron, ia kaca kalis peluru. Kami memerlukan dewan utama. Itulah sebabnya Perkhidmatan Rahsia, itulah sebabnya mengapa tentera menuntut (pembinaan dewan itu),” kata Trump.
Beliau berkata suspek membawa pelbagai senjata, tinggal di California dan menyifatkannya sebagai seseorang yang ‘sangat sakit’.
“Anda akan melihat dakwaan difailkan tidak lama lagi.”
Laporan media menyebut suspek dikenali sebagai Cole Thomas Allen, 31.
Presiden berpendapat suspek bertindak sendirian.
Pemangku Peguam Negara Todd Blanche, bagi pihaknya, berkata siasatan masih "berterusan."
"Saya menjangkakan anda akan melihat pertuduhan difailkan tidak lama lagi. Pertuduhan itu sepatutnya terbukti dengan sendirinya, memandangkan kelakuan itu, tetapi seperti yang anda akan dengar, akan ada beberapa pertuduhan berkaitan tembakan itu, sekitar pemilikan senjata api dan sebarang pertuduhan lain yang boleh dikenakan ke atas lelaki ini," katanya.

Pengarah FBI Kash Patel berkata biro itu akan meneliti latar belakang suspek secara menyeluruh. "Proses itu telah pun bermula...kami akan menganalisis semua bukti dengan segera untuk memastikan kami melindungi negara ini," kata Patel kepada pemberita.
Tidak menolak kemungkinan beliau ialah sasaran dalam insiden itu, Trump, ketika ditanya sama ada kejadian itu boleh dikaitkan dengan peranang di Iran, berkata beliau tidak berpandangan begitu namun tidak menolak sebarang kemungkinan.
Dalam sidang akhbar berasingan, Datuk Bandar DC Muriel Bowser berkata lelaki bersenjata itu cuba melepasi pusat pemeriksaan Perkhidmatan Rahsia di lobi hotel.
"Ejen Perkhidmatan Rahsia menghalang suspek. Seorang ejen cedera dan dibawa ke hospital tempatan, di mana ejen itu menerima rawatan," kata Bowser.
Suspek juga telah dibawa ke hospital di mana dia sedang dipantau, tambahnya.
"Kami tidak mempunyai sebab untuk mempercayai pada masa ini ada pihak lain terlibat," kata Datuk Bandar.
Jeff Carroll, ketua polis sementara bagi Jabatan Polis Metropolitan, berkata suspek bersenjatakan senapang patah, pistol dan pelbagai pisau.
Menurut maklumat awal, Carroll berkata suspek ialah tetamu di hotel berkenaan. Pegawai itu berkata beliau tidak boleh menyatakan motif untuk tindakan suspek "pada ketika ini."
Peguam bagi Daerah Columbia Jeanine Pirro berkata suspek didakwa dengan dua pertuduhan.
"Defendan akan dihadapkan pada Isnin di mahkamah daerah persekutuan," tambah Pirro.
— Bernama-Anadolu





