ULASAN | Ketika sambutan Hari Raya Korban baru-baru ini, pemimpin agung terbaru Republik Islam Iran, Sayyid Mojtaba Hosseini Khamenei telah menerbitkan satu perutusan sempena pelaksanaan ibadah haji.
Perutusan itu berpusat kepada satu slogan keramat: Allahu Akbar (Allah Maha Besar). Mojtaba menyatakan takbir, sebagai satu slogan akidah dan perjuangan adalah sejenis ‘senjata’ yang jika diimani sebenarnya amat berkesan, tajam, malah cukup menghancurkan untuk musuh.
Di Malaysia, teriak takbir yang diikuti dengan laung Allahu Akbar begitu sinonim dengan parti PAS. Barangkali bezanya adalah laungan takbir yang diserukan pemimpin Republik Islam Iran itu ada intinya. Ia sarat ketekadan yang tulen dan luhur. Ia tidak berpaksikan permainan politik.
Sayyid Mojtaba dalam perutusannya itu menekankan bahawa ketika berhaji, seseorang muslim yang beruntung kerana beroleh peluang ke Baitullah itu akan mengenakan ‘ihram penghambaan’ sayugia mengucapkan ‘talbiyah agar mereka berhijrah daripada kehidupan material kepada kehidupan Ilahi yang penuh kebahagiaan’ yakni apa yang beliau sebutkan sebagai ‘kehidupan tauhid yang berpusatkan pengabdian kepada Allah Yang Maha Agung, serta penolakan, penafian dan berlepas diri daripada segala tandingan selain Allah.’
Menurut Sayyid Mojtaba lagi, peluang berhaji ini membawa kepada hijrah. Namun, beliau menegaskan hijrah itu bukan calang. Dalam penerangan mengenai falsafah haji, Mojtaba menyatakan antara lain; yang ihram itu dikenakan dalam keadaan sentiasa mengingati Allah Yang Maha Kuasa. Tawaf pula dilakukan secara berterusan dengan kesedaran ia adalah untuk mengelilingi paksi kebenaran.
Manakala saei itu pula dilakukan dengan ingatan yang berterusan bahawa ia adalah salah satu puncak besar kewajipan Ilahi. Sudah tentu pula lontaran yang berterusan terhadap syaitan durjana dilakukan kerana keengganan untuk bersama-sama segala tipu daya dan pengikutnya.
Perihal di wukuf pula perlu dilakukan dengan sepenuh hati dn kerendahan diri, di mana para tetamu Allah bersedia ‘mengorbankan hawa nafsu dan kecenderungan yang menyesatkan seraya membersihkan kekotoran batin’. Bahkan mereka sentiasa siap dalam keadaan selalu bersedia untuk berkhidmat serta mengibarkan panji mempertahankan kebenaran.
Ini bermakna haji itu bukan ritual kosong. Ia diwajibkan dengan susah payah kerana Yang Maha Esa ingin kita mendalami dan menghayati mesej yang terkandung pada ibadah ini.

Mojtaba seterusnya menyatakan betapa bangganya beliau dengan umat Islam Iran yang berada dalam jalan hijrah ini, di mana rakyat Iran disifatkan sebagai menyahut seruan Ibrahimiyah Ruhollah Khomeini sejak tahun 1979. Mereka, orang Iran, telah siap menanggalkan pakaian yang ‘tunduk kepada kekuasaan asing, mengenakan ihram kebahagiaan dunia dan akhirat, lalu dengan talbiyah dan usaha bersungguh-sungguh berusaha bertawaf di sekeliling makrifat Islam Muhammadi yang tulen serta mendekatkan diri kepada cahaya keadilan sejagat dan wilayah agung Ilahi.’
Makna yang penting dan besar
Untuk Mojtaba, Allahu Akbar adalah senjata ‘bangsa Muslim Iran’ yang telah pun bangkit empat puluh tujuh tahun lalu, dan tanpa bersalah ‘menjatuhkan rejim taghut, diktator dan boneka Shah Pahlavi’. Mojtaba seterusnya berbangga yang Iran telah berani ‘memutuskan tangan serta pengaruh Amerika yang tamak dan angkuh daripada negara mereka, dan memutuskan sepenuhnya pengaruh Zionisme.’
Meskipun dipaksakan melalui dan menempuh pencerobohan rejim Ba‘ath Saddam dari Iraq selama hampir sedekad, bersekali dengan sekatan ekonomi yang membuatkan rakyat Iran menderita lama; slogan atau teriak takbir ini mengukuhkan ikatan umat dan kini melebar disambut oleh para pemuda ‘dari Iran hingga Lubnan, Palestin, Iraq dan Syria; dari Afrika dan Yaman hingga Afghanistan, Pakistan dan seluruh bangsa merdeka dunia.’
Kata Mojtaba lagi, teriak inilah yang mendorong mereka ‘bangkit mempertahankan umat Islam daripada Zionis perampas, menghancurkan ISIS, melancarkan Taufan al-Aqsa dan menjadikan nafas rejim Zionis yang goyah semakin sempit.’
Sebenarnya perutusan Mojtaba ini memiliki makna yang penting dan besar. Setelah membisikkan rahsia kemenangan dan kekuatan Iran berdepan dengan Amerika dan Zionis, Mojtaba menyatakan beliau ingin ‘menyeru seluruh negara dan kerajaan Islam kepada persahabatan, kerjasama dalam kebaikan dan kebajikan, agar mereka melangkah bersama demi kemajuan umat Islam dan penyelesaian masalah dunia Islam’. Sudah tentu, ajakan itu adalah atas dasar takbir; Allah Maha Besar.
Mojtaba berhujah, ‘jarum masa tidak akan berpatah kembali’; apa yang dilakukan oleh Amerika dan Israel terhadap Iran tidak akan dimaafkan lagi. Bukan itu sahaja Iran katanya akan melayan mana-mana ‘bangsa-bangsa serta tanah-tanah di rantau ini’ agar ‘tidak lagi akan menjadi perisai kepada pangkalan Amerika.’
Slogan “Maut kepada Amerika” dan “Maut kepada Israel” katanya kini sudah menjangkit ke luar Iran. Pelbagai bangsa sedar yang ia adalah satu teriak yang suci untuk melawan imperialisme. Lihat sahaja bagaimana Sumud Flotilla disertai oleh aneka warna kulit, dan kepercayaan.
Oleh sebab itu menurut Mojtaba, para jemaah dan haji Iran pada musim haji tahun ini mempunyai tugas penting untuk ‘menonjol dalam menyampaikan kisah kemenangan peranang yang dipaksakan’ sambil memberikan harapan bahawa masa depan Islam itu cerah sekiranya umat berpegang kepada Allahuakbar. Haji adalah flotilla hijrah yang ajaib, terdiri dari pelbagai bangsa. Semuanya bersatu atas Allahuakbar itu.

Pedoman dari takbir
Mojtaba seterusnya menutup perutusan dengan meminta jemaah haji berdoa agar ‘mempercepatkan kemunculan Penyelamat umat manusia’, juga agar umat Islam sanggup bersatu; agar Palestin dan al-Aqsa dapat dimerdekakan; agar derita umat Islam di mana pun dapat dihapuskan; dan paling mustahak agar kemenangan akhir terhadap keangkuhan global dapat diisytiharkan segera, demi menoktahkan imperialisme Zionis.
Selari dengan perutusan itu, Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim yang sempat berbual sempena Hari Raya Haji dengan Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian menerusi perbualan telefon, menegaskan Malaysia kekal mengecam sebarang tindakan serangan dan pencerobohan di Asia Barat, termasuk serangan dron serta operasi ketenteraan Israel-Amerika Syarikat yang mengorbankan nyawa rakyat tidak berdosa.
Anwar dilaporkan berkata, beliau mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Iran itu atas salam persaudaraan dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia. Beliau turut menzahirkan harapan agar Iran segera kembali aman serta segala ketegangan dan pertumpahan darah dapat dihentikan menerusi jalan damai serta diplomasi yang bertanggungjawab.
Anwar malah berjanji akan melawat Iran kelak sambil menyatakan yang, "Iran sentiasa dekat di hati saya, apatah lagi ramai sahabat dan kenalan di sana yang terus mempertahankan nilai ilmu, persaudaraan dan perjuangan kemanusiaan sejagat.”
Sebenarnya ada banyak pedoman dari takbir atau ungkapan Allahuakbar yang diserukan oleh Iran itu.
Pertamanya, takbir bukan milik pihak tertentu, malah di peringkat global; seruan takbir yang betul berperananan untuk menumpaskan musuh Islam yang jahat. Syaratnya adalah kesatuan umat Islam. Hal ini membawa kepada satu kebimbangan.
Sikap Malaysia dan pentadbiran Anwar Ibrahim ini tentu tidak disenangi oleh Zionis dan kuasa Barat. Di tahun Pilihan Raya, macam-macam boleh terjadi. Kita sangat berharap tidak ada takbir palsu diserukan untuk menjatuhkan pentadbiran yang begitu mendukung kemandirian rakyat Iran yang hebat ini. Bukan itu sahaja, kita juga bimbang ada pihak yang terlalu ingin berkuasa, akan bekerja dengan musuh asing demi agenda sendiri, sehingga nanti Malaysia akan terperuk dan tidak lagi merdeka suaranya. Sedikit sebanyak sekarang di bawah Anwar, Malaysia yang madani bebas membuat pilihan.
Kedua, ramai yang kini merasakan perutusan Mojtaba ini adalah satu kenyataan yang demikian segar. Apa yang beliau utarakan itu tidaklah begitu banyak berbeza dengan apa yang dinukilkan oleh as-Syahid ayahnya, Ayatullah Ali Khamenei yang dalam sebuah buku kecil berjudul ‘Tarh kuli Andisha Islami Dar Quran’ diterbitkan pada tahun 1974. Risalah ini menekankan akan misi tauhid dan kemandirian yang berasal usul dari takbir atau seruan Allahuakbar yang digeruni musuh Islam itu. Serentak itu ia membezah falsafah dan pandangan sarwajagat Islam yang menjadi sumber kekuatan Iran.
Buku ini diterbitkan kembali dengan judul baru, ‘Petunjuk’ oleh penerbit independen Kawah Buku dan sedia terjual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur mulai minggu ini.
FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





