Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata pertemuan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan beberapa ahli parlimen PKR baru-baru ini tidak wajar disensasikan, sebaliknya sekadar interaksi rutin dalam parti.
Menurutnya, walaupun dia tidak terlibat dalam pertemuan tersebut, ia dilihat sebagai usaha perdana menteri mendapatkan pandangan daripada ahli parlimen penyokong kerajaan yang lebih dekat dengan realiti di lapangan.
"Memang Presiden PKR (Anwar) berjumpa dengan beberapa orang backbencher. Tapi saya rasa apa yang masyarakat boleh lihat adalah memanglah backbencher PKR ini semua dikaitkan dengan saya.
"Sebab kita adalah yang pemimpin kanan dan kita tak lagi dalam kerajaan. Kita bukan barisan hadapan. Jadi, memang tinggal kami.

"Jadi, nak kata PM jumpa backbencher yang rapat dengan Rafizi, kalau PM jumpa backbencher, memang backbencher itu rapat dengan saya," katanya kepada pemberita selepas berucap pada jelajah ceramah Himpunan Tangkap Azam Baki di Kuala Lumpur, malam tadi.
Rafizi berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin kononnya pertemuan tersebut melibatkan hanya ahli parlimen yang rapat dengannya, susulan beberapa nama termasuk Nik Nazmi Nik Ahmad, Wong Chen dan dirinya sendiri tidak dipanggil.
Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diterimanya, pertemuan itu berlangsung dalam suasana harmoni tanpa sebarang agenda tersembunyi untuk memecah-belahkan kepimpinan parti.
Malah, Rafizi menyifatkan pendekatan perdana menteri sebagai terbuka dan menghormati ruang ahli parlimen menyuarakan pandangan.

"Sebenarnya, dia tak adalah perspektif jangan sokong Rafizi.
"Tanggapan saya adalah ia satu perbualan biasa. PM meyakinkan backbenchers yang dia jumpa bahawa beliau menghormati hak mereka untuk menyuarakan pandangan.
“Ia lebih kepada gaya kebapaan (fatherly)," katanya.
Isu pelantikan turut disentuh
Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan mendedahkan pertemuan empat mata dengan perdana menteri turut menyentuh isu pelantikan jawatan penting negara.
Menurutnya, pertemuan itu diadakan susulan beberapa kenyataan media yang dikeluarkannya bersama rakan-rakan berhubung isu kepentingan awam.

"PM panggil saya, ia adalah pertemuan empat mata. Perkara pertama yang beliau tanya adalah, 'Zahir, kenapa keluarkan kenyataan-kenyataan ini?'. Jadi saya beritahu beliau untuk menjawab perkara itu, bahawa kenyataan tersebut adalah adil.
"Satu perkara yang kami bangkitkan adalah perkara yang menjadi kebimbangan kami. Kebimbangan bersama. Isu yang semua orang tahu di mana pendirian kami. Jadi, tiada apa yang mengejutkan pun," kata Zahir.
Dia turut mendakwa bahawa dalam pertemuan kira-kira empat minggu lalu itu, perdana menteri memberi jaminan berhubung status Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
"Saya ada bertanya kepada PM secara spesifik mengenai kontrak Azam Baki. Masa itu, PM beri jaminan kepada saya bahawa kontrak Azam Baki tidak akan dilanjutkan.
"Itu adalah pada masa itulah. Sekarang ini, apa yang akan berlaku dalam masa beberapa minggu akan datang, kita lihatlah. Itu saja," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, turut menegaskan pertemuan tersebut tidak luar biasa, memandangkan hubungan dia dan rakan-rakan dengan Anwar sudah lama terjalin.
"Anwar sudah masak dengan karakter mereka dan tidak akan cuba mempengaruhi pendirian mereka dengan cara yang tidak telus.
"Perkara ini bukan satu kebimbangan besar. PM pun tahu perkara itu. Kami bertiga sebenarnya telah menghabiskan banyak masa bersama perdana menteri sepanjang 16 tahun yang lalu.
"Jadi, mereka tahu karakter kami. Beliau tidak akan cuba menggunakan 'Jedi mind trick' atau apa-apa terhadap saya. Tolonglah. Mereka tahu di mana pendirian kami," katanya.

Untuk rekod, sekurang-kurangnya 10 ahli parlimen PKR yang dilihat cenderung bersama Rafizi sering mengeluarkan kenyataan bersama mengkritik pendirian kerajaan, khususnya dalam isu reformasi.
Selain Nik Nazmi, Wong Chen dan Zahir, ahli parlimen lain termasuk Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Rodziah Ismail (Ampang), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Hassan Karim (Pasir Gudang), Kesavan Subramanian (Sungai Siput) dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat).
Mengulas lanjut, Rafizi menyambut baik pendekatan Anwar yang dilihat lebih kerap mendekati ahli parlimen dan pimpinan parti di peringkat akar umbi.
Katanya, menteri kabinet sering terdedah kepada maklumat yang “indah khabar daripada rupa” kerana bergantung kepada laporan pegawai.
"Oleh itu, input daripada ahli parlimen yang sentiasa berada di lapangan amat penting untuk memberikan gambaran sebenar mengenai situasi negara.
"Sangat jarang pegawai kerajaan akan memberitahu anda berita buruk. Ia selalunya berita baik sahaja. Malah, saya rasa apa yang beliau (PM) lakukan sebenarnya cukup bagus kerana kami telah membangkitkannya berkali-kali sebelum ini.
"Beliau perlu meluangkan lebih banyak masa dengan backbenchers dan pemimpin parti. Saya bimbang tidak ada pengesahan politik yang mencukupi kerana perkara baik tentang backbenchers dan pemimpin parti ini adalah mereka berada di lapangan," katanya.





