Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mempersoalkan siapa pihak yang bertanggungjawab menyerahkan pemilikan tanah rizab untuk balai polis di Taman Desa, Kuala Lumpur kepada pemaju.
Dia yang juga Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan berkata ia menjadi persoalan selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mendedahkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri tidak bersetuju tanah tersebut diserahkan kepada pemaju dan diberikan tanah gantian.
Kata Khalid, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkenaan isu itu juga dilihat mengelirukan.
"Ia jadi tanda tanya - siapa yang cadangkan idea tersebut? Siapa cadang tanah itu diserahkan kepada pemaju?
"Kalau idea itu tidak datang daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia), mungkin ada pihak lain yang berminat dengannya, iaitu pemaju.
"Penduduk dan ahli Parlimen pula tidak dilibatkan, tiba-tiba tapak balai polis tersebut sudah ada kebenaran merancang," katanya semasa sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, dalam perbahasan di Dewan Rakyat sebelum ini Kok membangkitkan isu KDN dan PDRM tidak setuju untuk lot itu dijual kepada pihak swasta.
Hal itu kerana, dakwa Kok, KDN memang mempunyai rancangan untuk membangunkan Balai Polis Brickfields di lot tersebut.
Menurutnya lagi, berdasarkan jawapan bertulis yang diterima menyatakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur bertarikh 27 Jun lalu bersetuju meluluskan permohonan pemberimilikan tanah di Lot 54780, Taman Desa itu kepada syarikat swasta untuk dibangunkan kondominium.
Tanah tersebut seluas 0.86 ekar
Juteru, Kok menyeru kerajaan campur tangan untuk membatalkan keputusan pemberimilikan dan memulangkan tanah rizab polis kepada KDN.
Khalid berkata jika keputusan pemberimilikan itu dibuat berdasarkan cadangan pemaju, ia sekali gus mengetepikan suara KDN dan PDRM.
Menurut bekas Ahli Parlimen Shah Alam lagi, dia beranggapan tindakan tersebut merupakan satu langkah yang tidak betul, apatah lagi apabila pertukaran hak milik berlaku tanpa proses perbicangan yang telus antara pihak berkepentingan.
"Jika peranancangan bandar dah ada tetapi kemudian ditukar kepada pemaju, ini tak betul.
"Ini membuka pintu luas kepada amalan rasuah," katanya.





