Kes saman seorang bekas pelajar terhadap seorang guru kerana tidak hadir ke kelas bersambung di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini.
Saksi plaintif, Nurhaizah Ejab berkata, defendan pertama dalam kes terbabit, Jainal Jamran tidak masuk ke kelas 4 Perdagangan (4PD) selama beberapa bulan pada tahun 2017 bukan disebabkan masalah disiplin pelajar atau kerana defendan hanya berminat mengajar di kelas pandai sahaja.
Dia memberitahu mahkamah bahawa Jainal yang mengajar Bahasa Inggeris juga tidak masuk ke kelas (4 Sastera) 4ST SMK Taun Gusi.
Demikian jelas Norhaizah yang juga merupakan guru di sekolah berkenaan selepas disoal balas oleh peguam Persekutuan Fazriel Fardianshah Abdul Kadir.
Fazriel: Adakah kamu mempunyai bukti dia masuk ke kelas 4ST ?
Norhaizah: Seingat saya 4ST ini digugurkan pada awal tahun 2015, jika merujuk kepada jadual Jainal Jamran iaitu muka surat 116 dan jadual bilangan 2 muka surat 115, kelas 4ST telah digugurkan dan digantikan dengan kelas 5ST dan ini bermaksud sepanjang tahun 2015 Jainal Jamran tidak mengajar di kelas 4ST.
Dalam pada itu, Norhaizah turut mengakui bahawa tiada bukti bertulis mengenai ketidakhadiran Jainal, namun dia mempunyai bukti audio rakaman merujuk kepada audio yang dihantar semasa perjumpaan guru-guru bahasa Inggeris dan pengetua, Suid Hanapi.
Kes saman ke atas Jainal difailkan bekas pelajarnya Siti Nafirah yang diwakili oleh peguamnya Shireen Sikayun, manakala pihak defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Hafizi Abdul Halim dan dibantu oleh Fazriel.
Perbicaraan di hadapan hakim mahkamah tinggi, Ismail Brahim bersambung 12 Ogos depan.





