Sehingga Jun lalu, dilaporkan seramai 29 selebriti tempatan berada di dalam senarai individu bankrap berikutan gagal melunaskan hutang kepada institusi kewangan.
Artikel Berkaitan: Jovian Mandagie Diisytihar Muflis, Gagal Bayar ‘Friendly Loan’ Lebih RM5 Juta
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Rozita Che Wan Jawab Dakwaan Bankrap, Dedah Setiap Bulan Bayar RM50,000 Cukai Diri Sendiri
Status bankrap

Menurut Pengarah Insolvensi Bahagian Kebankrapan, Jabatan Insolvensi, Fajrul Shihar Abu Samah memaklumkan semua selebriti terbabit memberikan kerjasama yang baik kepada pihaknya.
Ada mereka (artis dan selebriti) ini datang terus berjumpa dengan pihak kita kerana tidak tahan diburu institusi kewangan.
Bila mereka ‘menyerah diri’, lebih senanglah kita untuk tadbir hutang-hutang mereka. Sebab memang peranan pihak Jabatan Insolvensi menjadi pelindung (orang tengah) antara penghutang dan pemberi hutang.
Dalam pada itu, Fajrul berkata, seramai 66 selebriti disenaraikan muflis sejak tahun 2012, namun lebih separuh daripadanya berjaya keluar dari belenggu hutang selepas mendapatkan nasihat serta bimbingan.
Jadi yang terkini tinggal 29 orang sahaja masih dalam senarai tersebut, dalam kalangan mereka ini ada yang sudah bergelar artis lagenda, pelakon terkenal, pelakon veteran terkenal, bekas hero remaja pun ada, yang pernah menang banyak anugerah pun ada.
Tetapi apa yang penting, mereka ini telah tampil berjumpa dengan kami untuk menyelesaikan hutang mereka. Alhamdulillah setakat ini semuanya cuba membayar hutang mereka dengan baik tanpa culas.
Bagaimanapun, Fajrul tidak mendedahkan punca sebenar mereka dibebani hutang, namun percaya kebiasaannya berpunca daripada kegagalan menguruskan kewangan serta pinjaman.
Meskipun begitu, Fajrul kagum dengan komitmen yang diberikan oleh mereka yang dilihat tetap berusaha untuk melangsaikan hutang.
Jika saya sebut seorang-seorang (nama artis dan selebriti itu) hampir majoriti masyarakat di luar sana kenal. Tetapi apa yang penting mereka ini berusaha untuk membayar hutang.
Komitmen seperti inilah yang memudahkan pihak kami untuk mentadbir hutang-hutang mereka.
Bila disenaraikan muflis, bank tidak cari mereka lagi sebaliknya berurusan dengan kami yang mentadbir hutang-hutang mereka.
Sumber: Kosmo Online
The post Jabatan Insolvensi Dedah 29 Selebriti Bankrap! Artis Lagenda, Pelakon Veteran & Bekas Hero Remaja Antara Tersenarai first appeared on OHBULAN!.





