31.8 C
Kuala Lumpur
Friday, July 17, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kabinet setuju pinda akta pengangkutan: Mahkamah boleh arah bayar pampasan pada mangsa, waris

    Shopee Sale

    Jemaah Menteri pada Rabu lepas bersetuju secara dasar dengan cadangan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah kemalangan jalan raya membayar pampasan kepada mangsa atau waris mangsa sebagai hukuman tambahan, selain hukuman sedia ada.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata cadangan itu turut merangkumi usaha memperkukuh Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.

    "Cadangan ini bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja dikenakan hukuman seperti penjara, denda dan hilang kelayakan memandu malah dipertanggungjawabkan terhadap kesan perbuatan kepada mangsa serta keluarga.

    "MOT (Kementerian Pengangkutan) berharap agar pampasan tidak ditetapkan secara automatik atau secara pentadbiran oleh kerajaan, sebaliknya ditentukan oleh mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes, termasuk tahap keseriusan kesalahan, kecederaan atau kehilangan nyawa, kerugian yang ditanggung mangsa atau waris serta kemampuan pesalah untuk membayar," katanya.

    Loke berkata demikian pada sidang media berhubung Pindaan Akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bagi Mewujudkan Peruntukan Pampasan Kepada Mangsa Kemalangan dan Pengukuhan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata mekanisme baharu itu akan meliputi pelbagai kesalahan jalan raya termasuk pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah serta pemanduan melulu.

    Beliau berkata mekanisme itu juga tidak akan menjejaskan hak mangsa atau waris untuk membuat tuntutan insurans atau mengambil tindakan sivil menerusi saluran perundangan sedia ada.

    Mengulas lanjut, Loke berkata kementerian akan memulakan proses menggubal pindaan kepada Akta 333 susulan persetujuan dasar oleh Jemaah Menteri, dengan perincian mekanisme itu akan diteliti secara menyeluruh sebelum dibawa semula ke Kabinet dan seterusnya dibentangkan di Parlimen.

    MENARIK:  RMK13: Agensi tunggal perumahan negara bakal ditubuh, selaras penyediaan rumah mampu milik

    "MOT juga akan mengadakan sesi libat urus bersama kementerian, agensi serta pihak berkepentingan termasuk industri insurans bagi memperhalusi pelbagai aspek pelaksanaan sebelum rang undang-undang digubal," katanya.

    Beliau berkata pihaknya juga akan meneliti antaranya skop kes yang akan diliputi, takrif kecederaan serius serta mekanisme yang sesuai sekiranya pesalah tidak berkemampuan membayar pampasan.

    Loke berkata hukuman tambahan berbentuk pampasan itu tidak akan menggantikan hukuman sedia ada kerana pesalah tetap tertakluk kepada hukuman yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

    “Pampasan ini adalah tambahan kepada hukuman sedia ada. Hukuman penjara kekal, denda kekal, tetapi pesalah juga perlu bertanggungjawab terhadap waris mangsa,” katanya sambil menambah pindaan itu hanya akan terpakai kepada kes yang berlaku selepas ia diluluskan Parlimen kerana undang-undang tidak boleh berkuat kuasa secara retrospektif.

    Beliau berkata kementerian menyasarkan rang undang-undang (RUU) itu dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen penghujung tahun ini jika proses penggubalan dan libat urus dapat diselesaikan, sebelum dicadangkan untuk diteliti Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi mendapatkan pandangan semua pihak berkepentingan.

    "Saya juga akan mencadangkan supaya akan ada satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk membincangkan RUU ini secara terperinci supaya apa yang kita nak laksanakan ini mendapat sokongan semua pihak merentasi parti," katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah