26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 2, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    UNHCR: Pelarian belum selamat kembali ke Myanmar

    Shopee Sale

    Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) memberi amaran pelarian masih belum selamat untuk kembali ke Myanmar yang terus dilanda konflik bersenjata, peranang dan keganasan.

    Agensi PBB itu turut menjelaskan pihaknya tidak terlibat dalam rancangan Malaysia menyerahkan pelarian ke Myanmar menerusi program yang disifatkan kerajaan sebagai dilakukan secara "sukarela".

    “Di bawah konvensyen undang-undang antarabangsa - suatu kewajipan yang mengikat semua negara - tiada sesiapa boleh dihantar ke negara yang boleh menyebabkan hak atau kebebasan mereka terancam.

    “Sebarang penghantaran pulang pelarian mesti dilakukan secara sukarela, berdasarkan keputusan yang dibuat selepas mendapat maklumat secukupnya, serta berlangsung dalam keadaan selamat dan bermaruah,” katanya pada kenyataan seperti dipetik Reuters.

    Kementerian Dalam Negeri (KDN) minggu lalu berkata fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela sudah dimuktamadkan, dengan 1,476 pelarian dijadualkan kembali ke Myanmar pada 29 September.

    Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 etnik Rohingya ketika ketegangan membabitkan pelarian semakin meningkat dalam kalangan masyarakat tempatan di Malaysia.

    UNHCR menggesa kerajaan meneliti keperluan perlindungan setiap individu sebelum mereka dihantar pulang.

    “UNHCR menggesa supaya keperluan perlindungan semua pihak yang terlibat dipertimbangkan dengan teliti sebelum mereka dihantar pulang ke Myanmar dan bersedia untuk berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan mengenai langkah perlindungan,” katanya.

    MENARIK:  Papan tanda: Kedah mahu wajibkan Jawi, larang gambar seksi

    Ribuan pelarian meninggalkan Myanmar dalam beberapa gelombang, bermula dengan dakwaan genosid terhadap etnik Rohingya di Rakhine pada 2017 dan kemudian rampasan kuasa tentera pada 2021 yang mencetuskan peranang saudara di seluruh negara itu.

    Menurut data UNHCR, setakat Februari lalu, Malaysia menempatkan kira-kira 193,800 pelarian Myanmar daripada pelbagai etnik, termasuk Rohingya dan Chin.

    Pada Januari 2020, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Myanmar mengambil langkah sementara bagi melindungi Rohingya daripada tindakan genosid, memelihara bukti dan melaporkan pematuhannya secara berkala.

    Pada Januari tahun ini, ICJ memulakan perbicaraan merit bagi menentukan sama ada Myanmar melanggar Konvensyen Genosid menerusi tindakan tenteranya terhadap Rohingya dan mahkamah itu dijangka memberi keputusannya pada tahun depan.

    Ini selepas Gambia bagi pihak Pertubuhan Islam Antarabangsa (OIC) membawa kes genosid terhadap etnik Rohingya ke mahkamah tersebut pada 2019.

    Junta tentera Myanmar melancarkan serangan ke Rakhine pada 2017 yang memaksa sekurang-kurangnya 730,000 Rohingya meninggalkan kediaman mereka dan melarikan diri ke negara jiran Bangladesh.

    Misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merumuskan serangan tentera pada 2017 itu merangkumi “tindakan genosid” dengan dakwaan kejadian pembunuhan, rogol beramai-ramai dan pembakaran.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah