PARLIMEN | Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan pegangan saham tempatan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang dipegang oleh Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikekalkan sekurang-kurangnya 70 peratus.
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata ia bagi memastikan kawalan strategik negara terhadap pengurusan lapangan terbang awam terus terpelihara.
"Bagi mengekalkan kawalan strategik negara, pegangan saham tempatan digabungkan bawah Khazanah dan KWSP mestilah dikekalkan sekurang-kurangnya pada paras 70 peratus.
“Sebarang perubahan terhadap struktur pemilikan ekuiti ataupun keputusan penjualan aset strategik MAHB pada masa depan wajib mendapat kelulusan daripada jemaah menteri secara telus," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Mas Ermieyati yang juga ahli parlimen Masjid Tanah berkata syor itu merupakan antara lapan cadangan utama yang dikemukakan PAC selepas menjalankan prosiding berhubung pengurusan lapangan terbang awam bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Kewangan (MOF) dan MAHB.
Menurutnya, siasatan itu dijalankan bawah bidang kuasa PAC sendiri, bukan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara, bagi menjawab persoalan awam berhubung proses penswastaan MAHB, tadbir urus selepas penswastaan, pengurusan aliran penumpang serta pelan transformasi operasi syarikat.
Mas Ermieyati berkata sebanyak 19 prosiding diadakan antara 17 Februari hingga 20 Ogos 2025 dengan memanggil pelbagai saksi, termasuk wakil MOF, MOT, Khazanah Nasional, KWSP, MAHB, syarikat penerbangan, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.
Dia berkata PAC mendapati kemerosotan mutu perkhidmatan di lapangan terbang berpunca daripada kegagalan melaksanakan penyelenggaraan dan pemulihan terancang selama bertahun-tahun selain kekurangan pelaburan modal, menyebabkan banyak aset dan infrastruktur uzur.
Katanya, walaupun MAHB kini merupakan entiti swasta, jawatankuasa itu mengesyorkan supaya MOT dan Jabatan Penerbangan Awam (Caam) mewajibkan syarikat itu menerbitkan laporan prestasi operasi dan petunjuk prestasi utama (KPI) secara berkala kepada orang ramai bagi mengekalkan akauntabiliti awam.
Selain itu, katanya, MOF dan MOT perlu mengarahkan MAHB mengemukakan laporan kemajuan fizikal dan aliran tunai bagi projek-projek berimpak tinggi seperti Aerotrain, sistem pengendalian bagasi (BHS) dan pembesaran lapangan terbang.
"Laporan prestasi dan kemajuan projek modal kritikal MAHB itu hendaklah dibentangkan secara berkala di Dewan Rakyat serta dikemukakan kepada PAC bagi membolehkan pengawasan semak dan imbang parlimen dijalankan secara berterusan," katanya.
Mas Ermiyati berkata PAC juga mengesyorkan MAHB mengetatkan tatacara perolehan dan sistem saringan kontraktor dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Caam dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia bagi menghapuskan “kontraktor kartel” yang tidak kompeten.
Dia berkata PAC masih belum dapat menilai secara menyeluruh pelaksanaan transformasi selepas penswastaan kerana proses itu masih di peringkat awal.
"Kita masih belum dapat laporan secara terperinci kerana apa yang kita lakukan ini adalah di peringkat awal sewaktu penswastaan itu dilakukan. Sebab itu kita menyatakan laporan kemajuan perlu diberikan secara berkala kepada PAC supaya segala perbelanjaan dapat dipantau dengan telus dan tidak berlaku ketirisan kos," katanya.
Tambahnya, PAC turut mengadakan lawatan mengejut ke KLIA Terminal 1 pada awal bulan lalu dan mendapati terdapat sedikit penambahbaikan dari segi fizikal, namun jawatankuasa itu masih menunggu pelaksanaan sepenuhnya pelan pembangunan yang dirancang oleh MAHB.





